Khamis, 21 Disember 2017 | 9:02pm
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali pada sidang media Litar Antarabangsa Sepang (SIC) umum 3 pemandu negara untuk siri "Le Mans Series" di Bangsar Shopping Centre. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SIC tolak tajaan pesaing PETRONAS

KUALA LUMPUR: Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memastikan tidak akan berlaku pertindihan dalam status penaja utama pasukan selepas PETRONAS mengumumkan 'bercerai' dengan pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah.

Syarikat petroleum negara itu mengumumkan yang mereka tidak lagi menaja Hafizh untuk beraksi dalam kelas Moto2 tahun depan dan hanya akan menyalurkan tajaan kepada pembangunan akar umbi antaranya pasukan SIC bagi kelas Moto3.

Perkara itu secara tidak langsung meletakkan status penaja utama untuk pasukan Moto2 yang juga di bawah SIC disertai Hafizh ketika ini menjadi tanda tanya dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali pantas menolak kemungkinan akan menerima tajaan daripada syarikat pengeluar minyak yang lain.

"Untuk pasukan SIC Racing Team, khususnya Hafizh dalam Moto2, kami masih lagi berbincang dengan pihak tertentu untuk mereka menjadi penaja utama dalam kelas ini," kata Razlan.

"Kami masih mempunyai masa untuk membuat keputusan kerana sesi ujian (pra musim) hanya bermula pada hujung Januari dan sasaran kami untuk memperkenalkan Moto2 adalah selepas ujian di Sepang pada 20 Februari. Ada masa lagi untuk buat keputusan, kita tunggu sajalah mungkin selepas tahun bharu nanti.

"Sebagai menghormati penaja utama di Moto3, kami tidak ambil (penaja) yang mempunyai konflik dengan mereka (PETRONAS). Kami tidak akan melakukannya dan tidak akan berada dalam posisi itu."

Untuk saingan musim depan, Hafizh akan berada di bawah bumbung kendalian SIC untuk kelas Moto2 yang ketika ini dikenali sebagai SIC Racing Team manakala Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki bergandingan dalam pasukan PETRONAS Sprinta Racing bagi kelas Moto3.

1522 dibaca
Berita Harian X