Khamis, 21 Disember 2017 | 7:24pm
BEKAS pelumba Moto2 Petronas raceline, Hafizh Syahrin akan bersama pasukan SIC Racing musim depan. - Foto Osman Adnan

PETRONAS tekad lahir 'Hafizh' kedua

KUALA LUMPUR: Syarikat petroleum negara, PETRONAS hari ini mengesahkan Hafizh Syahrin Abdullah - pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat PETRONAS - akan menyertai Kejuaraan Moto2 Dunia 2018 secara eksklusif bersama pasukan SIC Racing.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, PETRONAS berkata, pihaknya sudah pun mencapai objektif asal program berkenaan iaitu melahirkan pelumba Malaysia berdaya saing, mempunyai kemampuan pasaran dan kemahiran tinggi.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak akan berhenti begitu saja, sebaliknya akan terus memupuk bakat baharu menerusi program akar umbi antaranya Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan kerjasama bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam Kejuaraan Moto3 Dunia melalui pasukan PETRONAS Sprinta Racing.

"PETRONAS komited dalam usaha membangunkan pelumba pelapis yang mampu mewakili Malaysia di arena sukan permotoran antarabangsa sekali gus mengukuhkan jenamanya di persada global," kata PETRONAS dalam kenyataan media.

"Sejak menyertai program ini pada 2009, Hafizh bersama pengurusan Raceline Malaysia dan PETRONAS, menempuh sembilan musim dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) dan Kejuaraan Moto2 Dunia.

"PETRONAS berbangga dengan pencapaian Hafizh dan berharap beliau terus maju jaya dalam sukan permotoran. PETRONAS turut menghargai dan berterima kasih kepada Raceline Malaysia yang memainkan peranan penting dalam membentuk karier Hafizh sebagai pelumba kebanggaan Malaysia yang menempa nama di arena permotoran antarabangsa."

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mendedahkan PETRONAS tidak lagi menjadi penaja Hafizh untuk saingan musim depan.

629 dibaca
Berita Harian X