Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:07am
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin tekad tambah kutipan menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia 2017 melabuhkan tirai di Valencia. - Foto Nazran Jamel

Adam harap tuah Motegi

KUALA LUMPUR: Tiga perlumbaan berturut-turut dalam tempoh tiga minggu ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin untuk menambah kutipan mata sebelum musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2017 melabuhkan tirai di Valencia, pertengahan bulan depan.

Adam dijadual mengharungi perlumbaan di Grand Prix Jepun hujung minggu ini sebelum ke GP Australia pada 22 Oktober dan kembali beraksi di laman sendiri, GP Malaysia (29 Oktober).

"Kami akan mengharungi tiga perlumbaan berturut-turut dan kemudian aksi terakhir di Valencia," kata pelumba SIC Racing Team itu yang selepas 14 perlumbaan mengumpul 29 mata untuk berada di tangga ke-19 keseluruhan ketika ini.

Litar Twin Ring Motegi bukanlah asing buat Adam yang mana pada penampilan sulungnya tahun lalu, dia berjaya meraih empat mata selepas menamatkan perlumbaan di tangga ke-12.

"Jadi kami tidak boleh lagi terlepas daripada meraih mata. Kejuaraan (Moto3) sangat sengit buat saya, jadi kami perlu fokus untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam baki perlumbaan ini.

"Tahun lalu, perlumbaan berlangsung dengan baik di Jepun dan saya menamatkan saingan di tangga ke-12, jadi keyakinan saya tinggi ketika ini.

"Saya menggemari litar ini. Saya yakin kami dapat melakukan yang lebih kali ini. Saya akan bertarung untuk mendapatkan kedudukan terbaik untuk diri saya musim ini. Saya mahu berada dalam kelompok lima terbaik.

"Amat penting juga saya mencari momentum positif hujung minggu ini supaya saya boleh beraksi di laman sendiri (GP Malaysia) dengan mentaliti yang kuat serta berada di prestasi terbaik," kata Adam.

167 dibaca
Berita Harian X