Ahad, 8 Oktober 2017 | 6:26pm
LEWIS Hamilton terus selesa di mengungguli kedudukan pelumba selepas menjuarai GP Jepun, sebentar tadi. - Foto AFP

F1: Hamilton makin selesa di puncak

SUZUKA, Jepun: Lewis Hamilton memenangi Grand Prix Formula Satu (F1) Jepun hari ini untuk menghampiri kejuaraan dunia keempat dengan pesaing utamanya Sebastian Vettel gagal menamatkan perlumbaan.

Pemandu Britain itu menguasai perlumbaan dari petak utama, mengemudi jentera Mercedes untuk kemenangan kelapan tahun ini dan mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dunia di depan Vettel kepada 59 mata dengan hanya berbaki 100 mata ditawarkan.

"Secara jujur saya tidak mengimpikan jurang sebegini," kata Hamilton selepas menangani cabaran sengit lewat perlumbaan daripada Max Verstappen di Litar Suzuka.

"Pasukan ini melakukan tugas luar biasa, mereka terlalu cermat dan teliti jadi terima kasih kepada semua."

Verstappan dari Red Bull - yang mengejutkan Hamilton untuk menang di Malaysia minggu lalu - dan rakan sepasukannya Daniel Ricciardo meraih podium berganda bagi perlumbaan kedua berturut-turut.

Valtteri Bottas menamatkan perlumbaan di tangga keempat menerusi jentera kedua Mercedes manakala Kimi Raikkonen dari Ferrari di tangga kelima dan Esteban Ocon di tangga keenam buat Force India.

Dengan kemenangan Hamilton di Jepun, impian Vettel memburu kejuaraan semakin tertutup dengan hanya empat perlumbaan berbaki musim ini.

"Menyedihkan dalam dua perlumbaan kami menghadapi masalah kebolehpercayaan," kata Vettel, yang mendahului kejuaraan enam minggu lalu.

"Tapi kini penting untuk berehat dan memberikan yang terbaik bagi empat perlumbaan terakhir dan lihat apa yang akan berlaku."

- AFP

581 dibaca
Berita Harian X