Isnin, 11 September 2017 | 1:11am
PELUMBA Repsol Honda, Marc Marquez (kanan) mendahului perlumbaan pada pusingan terakhir di GP San Marino, Itali. - Foto EPA

Marquez, Dovizioso berkongsi 199 mata

MISANO ADRIATIO (Itali): Juara dunia, Marc Marquez menjuarai Grand Prix (GP) San Marino atas permukaan litar yang licin, hari ini sekali gus berkongsi kedudukan selaku pendahulu keseluruhan bersama pelumba Itali, Andrea Dovizioso.

Marquez yang menunggang jentera Honda itu menamatkan saingan di hadapan pelumba Itali, Danilo Petrucci dan Dovizioso yang menduduki tangga ketiga dalam perlumbaan berlangsung dalam litar basah.

Marquez dan Dovizioso masing-masing menghimpun 199 mata dengan saingan hanya berbaki lima perlumbaan lagi.

Terdahulu, pelumba Switzerland, Dominique Agerter memenangi perlumbaan Moto2 mengatasi dua pelumba Kalex, Thomas Luthi dan pelumba dari Malaysia, Hafizh Syahrin untuk meraih kemenangan kedua dalam kariernya.

Pelumba Itali, Romano Fenati tidak berdepan masalah menunggang dalam litar basah apabila memenangi perlumbaan Moto3 untuk kemenangan kelapannya dalam kariernya.

Pada aksi moto3 yang menyaksikan ramai penunggang yang terjatuh dan tersasar keluar trek, Fenati menamatkan saingan di hadapan juara dunia, Joan Mir dan Fabio Di Giannantonio, masing-masing menunggang jentera Honda. - AFP

611 dibaca
Berita Harian X