Selasa, 5 September 2017 | 1:32am
JUARA dunia sembilan kali dari Itali, Valentino Rossi disahkan tidak akan berlumba di MotoGP San Marino kerana cedera.

Rossi tak berlumba di San Marino - Yamaha

PARIS: Valentino Rossi yang mengalami kemalangan minggu lalu, disahkan tidak akan berlumba di MotoGP San Marino hujung minggu ini, demikian disahkan pasukan Yamaha hari ini.

Juara dunia sembilan kali dari Itali itu mengalami patah kaki selepas kemalangan ketika sesi latihan minggu lalu.

Penunggang 38 tahun itu menjalani pembedahan di Ancona, Itali pada Jumaat, dan kini sudah keluar dari hospital dan diarah berehat.

Pasukannya, Yamaha berkata adalah 'berat hati untuk melaporkan bahawa Valentino Rossi tidak akan dapat berlumba' pada perlumbaan pusingan ke-13 musim ini.

Tanpa kelibat Rossi, hanya rakan sepasukan Maverick Vinales akan mengibar cabaran pasukan Movistar Yamaha di San Marino.

Vinales kini berada di tangga ketiga dengan 170 mata, 13 mata di belakang pendahulu dari Ducati, Andrea Dovizioso.

Rossi, yang berada di tangga keempat dengan 157 mata, kini terpaksa berlumba dengan masa untuk sembuh dan cergas bagi perlumbaan seterusnya di Sepanyol, 24 September ini.

Ketika meninggalkan hospital, Rossi berikrar akan kembali menunggang motosikalnya secepat mungkin.

"Saya akan menjalani pemulihan secepat mungkin dan tengoklah bagaimana reaksi tubuh saya sebelum kami membuat sebarang keputusan," katanya.

"Segala-galanya bergantung kepada dia sendiri tetapi saya rasa dia perlu berehat sekurang-kurangnya 40 hari," kata Dr Raffaele Pascarella, yang mengetuai pembedahan itu, Jumaat lalu. - AFP

853 dibaca
Berita Harian X