Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:55pm
PELUMBA Ducati Team, Andrea Dovizioso (tengah) meraikan kejayaan takluk GP Austria bersama pasukan. - Foto AFP

Dovizioso takluk GP Austria


ANDREA Dovizioso (depan) menamatkan perlumbaan di tempat pertama selepas mengungguli GP Austria, malam tadi. Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez sekadar di tempat kedua dan ketiga Dani Pedrosa. - Foto AFP

SPIELBERG BEI KNITTELFELD, Austria: Andrea Dovizioso mengetepikan asakan sengit Marc Marquez untuk menghadiahkan kemenangan buat Ducati dalam perlumbaan penuh mendebarkan Grand Prix (GP) Austria, sebentar tadi.

Marquez yang juga pendahulu kejuaraan MotoGP dunia memulakan perlumbaan di petak utama, namun Dovizioso tampak berada di prestasi lebih baik apabila merampas kedudukan pendahulu termasuk dua kali ketika di pusingan terakhir.

Marquez terpaksa berpuas hati di tangga kedua manakala rakan sepasukannya dari Honda, Dani Pedrosa melengkapkan kedudukan podium dengan Dovizioso melepasi garisan penamat dengan catatan 39 minit 43.323 saat.


ANDREA Dovizioso (depan) menamatkan perlumbaan di tempat pertama selepas mengungguli GP Austria, malam tadi. Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez sekadar di tempat kedua dan ketiga Dani Pedrosa. - Foto AFP

Kemenangan ketiga Dovizioso pada musim ini menyaksikan dia kini mengambil alih tangga kedua kedudukan pelumba di belakang Marquez yang juga juara dunia tiga kali dengan ketinggalan 16 mata.

Pelumba Yamaha dari Sepanyol, Maverick Vinales jatuh ke tangga ketiga selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Tempat kelima di Litar Red Bull Ring pula menjadi milik rakan sepasukannya yang juga juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Itali.

Dovizioso memulakan perlumbaan di petak kedua, namun tergelincir ke tangga ketiga apabila rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo memintasnya di awal perlumbaan.

Begitupun, pelumba Itali yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kedua tahun lalu menggunakan sepenuhnya pertarungan di antara Marquez dan Lorenzo sebelum bijak mengetuai perlumbaan.

Lorenzo dalam pada itu terpaksa berpuas hati di tangga keempat. - AFP

Keputusan GP Austria

1. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 39 minit 43.323 saat (s)

2. Marc Marquez (ESP/Honda) +0.176s

3. Dani Pedrosa (ESP/Honda) +2.661s

4. Jorge Lorenzo (ESP/Ducati) +6.663s

5. Johan Zarco (FRA/Yamaha) +7.262s

6. Maverick Vinales (ESP/Yahaha) +7.447s

7. Valentino Rossi (ITA/Yahama) +8.995s

8. Alvaro Bautista (ESP/Aspar) +14.515s

9. Loris Baz (FRA/Avintia) +19.620s

10. Mika Kallio (FIN/KTM) +19.766s

868 dibaca
Berita Harian X