Sabtu, 12 Ogos 2017 | 10:06pm
PELUMBA SIC Racing Team, Adam Norrodin (nombor 7) akan memulakan saingan Moto3 GP Austria di petak ke-15, esok. - Foto AFP

Adam ghairah buru mata di GP Austria

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin tampak terus dahagakan kutipan mata di GP Austria selepas mempamerkan tunggangan memberangsangkan di Grand Prix (GP) Republik Czech, minggu lalu.

Kali ini, di Austria, pelumba SIC Racing Team itu membuktikan dirinya mampu bersaing dalam tahun keduanya di Sirkit Red Bull Ring apabila mempamerkan tunggangan cemerlang untuk berada di kelompok lima terbaik pada sesi latihan bebas kedua dan ketiga.

Dan pada sesi kelayakan yang berlangsung petang tadi, pelumba berusia 19 tahun itu menempah grid ke-15 - kedudukan keempat terbaik pernah dilakukannya pada musim ini.

Adam mencatat kepantasan 1 minit 37.128 saat dalam sesi kelayakan dan catatan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, 1 minit 37.808s.

"Saya dapat rasakan sesuatu yang baharu untuk tahun ini dan juga di trek ini, saya berasa lebih yakin dan sangat gembira dengan prestasi jentera.

"Sesi latihan bebas ketiga sangat bagus buat pasukan dan kami berada di kelompok lima terbaik, jadi untuk kelayakan, saya meletakkan jangkaan lebih tinggi.

"Sasaran minimum adalah berada dalam kelompok 10 terbaik, jadi ia sedikit mengecewakan apabila kami tidak mampu mencapainya hari ini. Apapun, kami masih boleh cuba melakukan yang terbaik esok.

"Minggu ini kami sangat baik dan saya sangat positif untuk mengharungi perlumbaan nanti. Saya boleh memulakan saingan dari P15 dan dari sana, saya tahu saya mempunyai kelajuan untuk bersaing dengan kelompok depan," kata Adam.

Di GP Republik Czech, Adam menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan untuk berada di tangga ke-21 carta Moto3 dengan 16 mata keseluruhan ketika ini.

Berita Harian X