Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:01am
MARC Marquez bimbang dengan cabaran bakal dihadapi di GP Austria, hujung minggu ini. - Foto EPA

GP Austria hantui Marquez

SPIELBERG: Juara dunia, Marc Marquez berpeluang merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut pada hujung minggu ini tetapi bimbang dengan cabaran yang dihadapi di Grand Prix (GP) Austria yang menyaksikan dia sekadar menamatkan saingan di tempat kelima pada 2016.

Penunggang Sepanyol itu akan memasuki pusingan ke-11 MotoGP selepas kemenangan berganda di Jerman dan Republik Czech dengan mendahului rakan senegara, Maverick Vinales 14 mata dalam saingan kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, seperti pencabar lain, bintang Honda itu bergelut dalam perlumbaan di litar Red Bull Ring 12 bulan lalu selepas GP Austria kembali semula dalam kalendar MotoGP buat kali pertama sejak 1997.

"Red Bull Ring membuatkan kami bergelut sedikit tahun lalu, tetapi diharapkan tahun ini berbeza," kata Marquez.

"Brno juga litar yang mencabar buat kami minggu lalu tetapi pada akhirnya kami memperoleh keputusan yang hebat, jadi kami pergi ke Austria dengan perasaan positif."

Perlumbaan GP Austria tahun lalu dimenangi penunggang Itali, Andrea Iannone dengan rakan senegara, Andrea Dovizioso kedua sekali gus membolehkan Ducati menamatkan saingan 1-2. - AFP

490 dibaca
Berita Harian X