Rabu, 9 Ogos 2017 | 10:59pm
MOHD Zaqhwan Zaid sasar kembali naiki podium di pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, hujung minggu ini.

Mohd Zaqhwan harap tuah di Sentul

KUALA LUMPUR: Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi menyasarkan untuk kembali menaiki podium di pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, hujung minggu ini.

Bagi pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing ini, kedudukan podium begitu penting kerana beliau kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 80 mata dan ketinggalan 22 mata kepada seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman.

Mohd Zaqhwan yang ketinggalan dua mata di belakang pelumba Yamaha Racing Team, Yuki Ito yakin beliau mampu meraih keputusan positif dalam perlumbaan hujung minggu ini berdasarkan rekod dua podium di litar sama pada musim lalu.

"Jurang mata semakin jauh selepas pusingan ketiga di Suzuka (Jepun), namun saingan masih panjang. Masih ada baki enam perlumbaan, cuma saya tidak boleh membiarkan Azlan untuk terus menjarakkan diri," jelas Zaqhwan.

"Pada masa sama saya sentiasa yakin pasukan mampu melakukan persediaan terbaik seperti di Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka di Jepun sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaqhwan percaya pasukannya yang diketuai pengurus, Zulhelmi Ahmad sudah melakukan tugasan cemerlang di Suzuka dan perkara sama boleh menjadi pemangkin momentum di perlumbaan di Indonesia kali ini.

Sebelum ini, Zaqhwan menamatkan saingan lapan jam di Suzuka di kedudukan kelapan keseluruhan bersama rakan sepasukan, Dimas Ekky Pratama (Indonesia) serta Ratthapong Wilairot (Thailand).

Pada masa sama, Zaqhwan juga ingin menebus kekecewaan selepas gagal menamatkan perlumbaan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, baru-baru ini.

"Saya begitu kecewa dengan aksi di Jasin. Kerja keras kami sepasukan serba tidak menjadi. Saya gagal memungut sebarang mata dan gagal tersenarai dalam 10 pelumba ke Superpole buat pertama kalinya," katanya.

248 dibaca
Berita Harian X