Ahad, 6 Ogos 2017 | 10:35pm
PENUNGGANG Moto3 negara, Adam Norrodin. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Moto3: Adam raih tujuh mata, Sasaki ceria

KUALA LUMPUR: Keadaan litar basah di Brno memberi kelebihan kepada penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin untuk melengkapkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di tangga kesembilan sekali gus meraih pencapaian terbaiknya musim ini.

Bermula di petak ke-24, pelumba pasukan SIC racing itu jelas bijak memanfaat kelebihan yang dimilikinya sekali pun pada satu ketika ketinggalan jauh sebelum mendaki kedudukan untuk menamatkan perlumbaan dengan mengutip tujuh mata.

Rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki turut ceria mengutip satu mata apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-15 dengan penunggang Sepanyol, Joan Mir menjuarai perlumbaan itu, hari ini.

"Saya fikir hujan yang turun hari ini memberikan tuah kepada saya. Saya memiliki keyakinan yang baik berlumba dalam keadaan seperti ini," kata Adam yang menamatkan perlumbaan 10.395 saat di belakang Mir.

"Saya memperoleh permulaan yang baik sekali pun bermula di petak ke-24 tetapi kemalangan membabitkan dua pelumba di depan saya hampir menyebabkan saya terkeluar.

"Saya fikir saya bertuah tidak terbabit dalam kemalangan tetapi apabila melihat kembali ke belakang, saya tahu banyak yang perlu dilakukan untuk bangkit.

"Saya terpaksa bekerja amat keras untuk kembali bersaing. Banyak yang perlu saya lakukan namun saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 dan amat gembira.

"Selepas berehat panjang, hebat untuk memulakan kembali musim ini dengan catatan mata. Saya mahu berterima kasih kepada pasukan dan keluarga kerana terus mempercayai saya," katanya.

Keputusan di Brno menyaksikan Adam mendaki ke tangga ke-21 dengan mengutip 16 mata setakat ini.

Berita Harian X