Ahad, 6 Ogos 2017 | 12:06am
PELUMBA Repsol Honda, Marc Marquez pada sesi kelayakan di GP Republik Czech. - Foto AFP

MotoGP: Marquez sambar petak utama GP Republik Czech

BRNO, Republik Czech: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez menyambar petak pertama keempatnya musim ini selepas mengatasi Valentino Rossi pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Republik Czech, Brno, di sini, sebentar tadi.

Penyandang juara dunia itu melakukan catatan terpantas 1 minit 54.981 saat (s) untuk menamatkan saingan 0.92s di depan penunggang veteran Itali, Rossi manakala pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa melengkapkan barisan hadapan selepas ketinggalan 0.138s.

Ia adalah petak utama ke-41 sepanjang karier pelumba berusia 24 tahun itu dalam kelas elit MotoGP dan ke-69 dalam semua kelas perlumbaan sekali gus memberinya kelebihan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu.

Sekali pun menjuarai tiga gelaran dunia daripada empat musim lalu, pelumba pasukan Repsol Honda itu begitupun tidak memiliki rekod yang baik di Litar Brno dengan kemenangan terakhirnya diraih pada 2013.

Sementara itu, rakan sepasukan Rossi dari pasukan Yamaha, Maverick Vinales yang ketika ini ketinggalan lima mata di belakang Marquez dalam senarai pelumba, terus bergelut untuk memulakan perlumbaan di petak ketujuh.

Seorang lagi pencabar kejuaraan, Andrea Dovizioso yang menunggang jentera Ducati akan mengetuai pelumba di barisan kedua selepas melakukan catatan keempat terpantas.

Ia diikuti pelumba LCR Cal Crutchlow yang ketinggalan 0.508s di belakang Marquez manakala pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo (Ducati) melengkapkan barisan kedua di petak keenam.

Kedudukan petak perlumbaan GP Republik Czech

1. Marc Marquez (ESP/Honda) 1:54.981s

2. Valentino Rossi (ITA/Yamaha) +0.092s

3. Dani Pedrosa (ESP/Honda) +0.138s

4. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) +0.460s

5. Cal Crutchlow (GBR/LCR Honda) +0.508s

6. Jorge Lorenzo (ESP/Ducati) +0.571s

7. Maverick Vinales (ESP/Yamaha) +0.682s

8. Danilo Petrucci (ITA/Ducati Pramac) +0.757s

9. Alvaro Bautista (ESP/Ducati) +1.046s

10. Johann Zarco (FRA/Yamaha Tech3) +1.094s

*Kedudukan 10 terbaik

Berita Harian X