Khamis, 3 Ogos 2017 | 10:06am
PENUNGGANG Honda dari Sepanyol, Marc Marquez. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Marquez idam podium di Brno

BRNO (Republik Czech): Pendahulu keseluruhan Marc Marquez berkata dia pastinya gembira dengan kedudukan podium apabila Kejuaraan MotoGP bersambung selepas rehat musim panas di Brno Ahad ini ketika kedudukan pendahulu sangat rapat.

Marquez, penunggang Honda dari Sepanyol yang memenangi GP Jerman sebelum rehat musim panas, mendahului kedudukan dengan 129 mata, lima di depan rakan senegara Maverick Vinales yang menunggang Yamaha.

Penunggang Itali, Andrea Dovizioso bersama Ducati di kedudukan ketiga dengan 123 mata di depan rakan senegara yang juga legenda sukan itu, Valentino Rossi bersama Yamaha dengan 119 mata.

"Brno ialah trek yang bagus tetapi satu daripada yang paling mencabar, dengan banyak perubahan arah dan bahagian naik serta turun," kata Marquez kepada motogp.com.

Juara dunia tiga kali MotoGP yang hanya memenangi kelas utama di Brno pada 2013, sudah membuat ujian di litar sepanjang 5.4 kilometer itu ketika rehat musim panas.

"Adalah bagus melakukan ujian di Brno ketika musim panas kerana ia membolehkan kami melakukan sesuatu untuk jentera dan terus fokus dengan kerja yang dilakukan," kata Marquez, yang menamatkan kedudukan di tangga ketiga dekat Brno tahun lalu di belakang juara Cal Crutchlow dan Rossi.

"Kami akan cuba mendapatkan kelebihan selepas kerja yang dilakukan ketika ujian dan bersedia untuk bertarung bagi kedudukan podium pada Ahad." - AFP

368 dibaca
Berita Harian X