Ahad, 30 Julai 2017 | 11:09pm

F1: Vettel menang GP Hungary

BUDAPEST: Sebastian Vettel menambah kutipan mata kejuaraan dunia dengan kelebihan 14 mata selepas memenangi Grand Prix Hungary di hadapan rakan sepasukan Ferrari Kimi Raikkonen sebentar tadi.

Dalam perlumbaan ke-50 untuk Ferrari, juara empat kali dunia dari Jerman itu menguasai perlumbaan dari petak utama untuk meraih kemenangan pertama dalam lima perlumbaan selepas Grand Prix Monaco.


DARI kiri; tempat kedua, Pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen, jurutera Ferrari Jock Clear, Juara, Sebastian Vettel dan pemandu Mercedes, Valtteri Bottas yang merangkul tempat ketiga di podium selepas Formula Satu Grand Prix Hungary di litar perlumbaan Hungaroring, Budapest.

Pesaing utamanya Lewis Hamilton dari Mercedes menamatkan perlumbaan di tempat keempat, selepas dengan sengaja memberikan tangga terakhir podium kepada rakan sepasukan Valtteri Bottas di pusingan terakhir.

Pemandu Belanda Mx Verstappen di tempat kelima untuk Red Bull selepas bangkit daripada kemalangan di pusingan pembukaan dengan rakan sepasukan Daniel Ricciardo yang menyaksikan pemandu Australia itu tersingkir awal.

Juara dua kali dari Sepanyol Fernando Alonso di tempat keenam dan mencatat pusingan terpantas perlumbaan untuk McLaren Honda.

Vettel, yang memulakan perlumbaan hanya satu mata di hadapan Hamilton, menambah jurang 13 mata lagi selepas 11 daripada 20 perlumbaan tahun ini menjelang cuti tiga minggu musim panas sebelum Grand Prix Belgium.

Ia adalah penamat satu-dua pertama Ferrari di Hungary sejak tahun 2004.

- AFP

Berita Harian X