Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:20pm
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali (kanan) meninjau persiapan Hari Sukan Negara 2018 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

15,000 bakal serbu KLSC esok

KUALA LUMPUR: Lebih 34 jenis sukan bakal dipertandingkan pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), esok dengan sukan elektronik (e-sukan) bakal menjadi tarikan terbaru.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata sebanyak 15,000 peserta sudah mengesahkan penyertaan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bakal diadakan di sekitar KLSC.

"Keistimewaan HSN tahun ini, kita sudah menyediakan satu venue khas bagi e-sukan di mana kita sudah menerima lebih kurang 900 penyertaan. Kita juga akan memperkenalkan industri e-sukan ini kepada orang ramai.

"Sukan ini mempunyai potensi besar kerana kajian yang kita jalankan, ada lebih kurang 14 juta orang terbabit dalam e-sukan sama ada mereka yang bermain menerusi telefon bimbit ataupun gajet lain," katanya selepas menyaksikan persiapan sempena HSN peringkat kebangsaan di KLSC di sini hari ini.

Lokman berkata, penganjuran acara sukan akan diadakan mengikut kluster di seluruh KLSC dengan tidak ketinggalan sukan untuk insan istimewa seperti boccia dan Liga Sukan Untuk Semua yang menyaksikan pelbagai permainan rakyat akan diperkenalkan.

"Kita juga gembira kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan menghadiri sambutan peringkat kebangsaan esok dan ini adalah satu sejarah bagi kita," katanya.

Katanya, Tun Dr Mahathir juga dijadual melepaskan acara Fun Ride 10 kilometer (km) yang disertai 2,000 peserta dan Fun Walk 3km yang akan disertai 8,000 peserta.


Kakitangan dan Ahli Kelab Sukan SUK melakukan tarian zumba pada Program Kecergasan FIT SUKSEL sempena Hari Sukan Negara di Dataran Dewan Negeri Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

Lukman berkata, sukan popular seperti sukan bola keranjang tiga sebelah akan diteruskan dengan jangkaan penyertaan lebih 350 pasukan sementara perlawanan bola sepak yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menentang artis pilihan turut dijadual berlangsung esok.

"Selain di peringkat kebangsaan, pelbagai aktiviti di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara juga sudah diatur. Kita letak sasaran satu juta orang akan turut serta dalam pelbagai aktiviti di seluruh negara esok," katanya.

HSN yang mula diperkenalkan pada tahun 2016 dengan diadakan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun, adalah satu inisiatif KBS ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.

340 dibaca
Berita Harian X