Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:42pm
AZIZULHASNI (kanan) beraksi pada acara berbasikal pusingan awal keirin lelaki sempena Kejohanan Berbasikal Trek GP Asia Tenggara 2018 hari ini. - Foto BERNAMA

Hanya pemanas badan: Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang yang mengutip emas kedua selepas muncul juara acara keirin dengan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit dalam aksi final di Kejohanan Berbasikal Trek GP Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Terdahulu, Azizulhasni yang dikenali sebagai "The Pocket Rocketman " muncul juara dengan menewaskan pelumba Indonesia Admadi Puguh pada aksi final untuk merangkul pingat emas dalam acara pecut semalam.

Biarpun menang kedua-dua emas dalam acara pecut dan keirin namun bagi Azizulhasni, menganggap pencapaian di Kejohanan Berbasikal Trek GP Asia Tenggara 2018 itu adalah biasa dan hanya medan pemanas badan serta sebahagian daripada latihan dan persiapannya untuk menghadapi kejohanan lebih besar pada masa depan.

Difahamkan, Azizulhasni bakal mengetuai barisan lima pelumba negara termasuk Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis,  Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Risidi bakal berlepas ke Eropah untuk menyertai beberapa kejohanan basikal trek Piala Dunia 2018 bermula di Perancis, pada 19 Oktober ini.

"Saya tidak anggap kemenangan ke atas  Jai Angsuthasawit bukanlah kejayaan misi membalas dendam kerana kita semua tahu kekalahan di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 sebelum in kerana saya dihimpit pelumba Thailand berkenaan dan saya tidak pernah berdendam dengannya biarpun tewas dalam perebutan pingat emas.

"Malah, selepas saya menewaskannya dan perlumbaan tamat kami sempat berbual seperti tiada apa-apa berlaku di trek. Kami menganggap pelumbaan ini sebahagian daripada latihan sebelum berlepas dan menyertai beberapa pusingan kejohanan basikal Piala Dunia 2018 di Eropah tidak lama lagi dan Kejohanan Basikal Trek Dunia 2019, Mac tahun depan," katanya yang akan berlepas ke Eropah Sabtu ini.

Sebelum ini media melaporkan sentuhan bekas rakan sepasukan memusnahkan impian jaguh trek negara, Azizulhasni Awang apabila meraih gangsa dalam aksi final keirin di Sukan Asia Jakarta Palembang, pada bulan lalu. Pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit yang dilatih bekas pelumba negara, Josiah Ng melakar kejutan meraih emas manakala  Yudai Nitta dari Jepun meraih perak dalam saingan sengit itu.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang berasal dari Dungun, Terengganu menegaskan bahawa apa yang penting baginya sekarang adalah memastikan tahap kecergasan dan prestasinya sentiasa berada tahap optimum dan mengumpul sebanyak mungkin mata di Piala Dunia bagi memastikan dia layak ke Kejohanan Basikal Trek Dunia dan Sukan Olimpik 2020.

684 dibaca
Berita Harian X