Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:13pm
Skuad luncur ais negara bergambar selepas berakhir Kejuaraan Terbuka Australia, Ahad lalu. - Foto NSTP

ISAM bangga pencapaian di Australia

KUALA LUMPUR: Kem luncur ais negara merakam dua kejayaan berganda pada Kejuaraan Terbuka Australia hujung minggu lalu menerusi tiga atlet elit short speed dan seorang bakat cilik pembangunan kebangsaan.

Paling membanggakan sudah tentu kemenangan atlet cilik berusia 9 tahun, Adam Ammar Azlan yang membolot pingat emas masing-masing dalam kategori midget 222 meter (m) dan 333m selepas berjaya mengetepikan pencabar dari Australia, New Zealand, Thailand dan Filipina.

Bagaimanapun, dua pingat emas yang dimenangi itu belum mencukupi tatkala dia hanya diangkat sebagai naib juara keseluruhan kategori usia antara 9-11 tahun itu di belakang peserta tuan rumah, Arjun Mutusamy.

Pada masa sama, tiga atlet elit - Ariff Rasydan Fadzli, Hazim Shahrom, Ameer Iman Fadzli - turut melayakkan diri ke siri Piala Dunia selepas berjaya melepasi masa kelayakan yang ditetapkan iaitu di bawah 48.9 saat menerusi penyertaan di Australia.

Bagi Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan, kejayaan itu boleh dianggap sebagai sesuatu di luar jangkaan.

"Saya amat bangga dengan pencapaian atlet kita kali ini. Ia keputusan terbaik pernah dicapai di Australia.

"Berdasarkan kepada pencapaian (catatan masa) di kejohanan ini, boleh dikatakan ke semua atlet kita berjaya mencapai sasaran," katanya.

124 dibaca
Berita Harian X