Rabu, 10 Oktober 2018 | 8:53pm
PEMAIN Malaysia, Muhd Sulaiman Abd Razak (kiri) dan Basir Mohamad mengasak pemain Britain, Adam Buckle pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN Malaysia, Abdu Muhajir (kiri) diasak pemain Britain, Duncan Scott pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Giliran Britain baham anak buah Nor Saiful 

JOHOR BAHRU: Prestasi hambar terus dipamerkan skuad hoki remaja negara selepas mudah diratah Britain 1-5 pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan mereka masih gagal mencipta kemenangan dalam empat perlawanan sekali gus akan beraksi dalam penentuan tempat kelima dan akan melengkapkan pusingan round robin menentang Jepun, Jumaat ini.

Ternyata prestasi buruk itu menyaksikan ketua jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang sepatutnya hadir pada sidang media selepas tamat perlawanan menolak untuk ditemuramah.

Apapun ketua jurulatih Britain, Jon Bleby berpuas hati dengan kemenangan yang diraih sekali gus membuka peluang anak buahnya untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut namun harus menang ke atas India dalam aksi terakhir.

"Gembira dengan prestasi pemain. Walaupun Malaysia beri tekanan tapi kami berjaya menyerap asakan mereka dan mengekalkan momentum.

"Aksi seterusnya menentang India dan kami letak sasaran untuk menang. Lagipun kami pernah tewaskan mereka. Jadi, keyakinan kami tinggi dan percaya mampu tundukkan mereka," kata Bleby. 

Sebaik berakhir babak suku pertama, anak didik Nor Saiful ketinggalan menerusi pukulan sudut penalti pada minit keenam hasil jaringan Daniel West yang mudah menewaskan penjaga gol, Adrian Albert.

Namun gol itu tidak kekal lama selepas skuad negara bangkit menyamakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11 apabila Nur Asyraf Ishak menyudahkan tolakan menewaskan penjaga gol, Oliver Payne.

Kealpaan benteng pertahanan tuan rumah mudah dihukum anak didik Bleby untuk kembali mendahului 2-1 pada minit ke-13 selepas kapten James Oates memukul tepat menewaskan Albert yang gagal untuk bertindak menghalang bola masuk ke gawang.

Juara 2015 itu langsung tidak memberi ruang kepada skuad negara apabila mengambil kesempatan daripada kelemahan benteng pertahanan untuk menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti Duncan Scott.

Giliran Thomas Russell menambah duka skuad negara apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-39 sebelum Cameron Golden memastikan kemenangan bergaya buat Britain dengan kemenangan 5-1.

624 dibaca
Berita Harian X