Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:25pm
PEMAIN Australia, Ehren Hazell (kiri) diasak pemain India, Vishal Antil pada aksi Kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN India, Gursahibijit Singh (tiga dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Australia di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

India mara ke final atasi Australia

JOHOR BAHRU: India mengesahkan slot ke final selepas menewaskan juara bertahan Australia 5-4 pada aksi kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Walaupun berbaki satu perlawanan menentang naib juara edisi ketujuh, Britain petang esok, apa jua keputusan tidak akan menjejas kedudukan India untuk kekal di kelompok teratas saingan edisi kelapan itu.

Ketua jurulatih India, Jude Sebastian berkata, hilang konsentrasi pada suku ketiga dan keempat memberi ruang buat Australia bangkit dan berjaya menjaringkan gol.

“Situasi itu tidak harus berlaku dan kami perlu memperkemaskan lagi corak permainan. Gembira layak ke final tapi kami hanya membuat persiapan dalam tempoh 28 hari untuk menyertai kejohanan ini,” katanya.

“Malah 10 muka baru diserapkan dalam skuad remaja dan ia memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan terbaik. Apa pun saya kurang berpuas hati dengan kemenangan tipis itu kerana kita berada dalam kedudukan selesa mendahului 4-0 tapi pemain saya membuat beberapa kesilapan yang menyaksikan Australia cuba untuk memburu sekurang-kurangnya keputusan seri," kata Sebastian.

Juara 2013 dan 2014 itu bermula garang sebaik aksi suku pertama bermula apabila membuka tirai gol pada minit kelima menerusi gol padang Gursahibjit Singh dan kemudian Hermanjit Singh turut mencipta gol pada minit ke-11 juga hasil gol padang.

Pada minit ke-14, kapten Mandeep Mor menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan Vishnukat Singh mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-15 menerusi gol padang untuk meletak India selesa mendahului 4-0.

Bagaimanapun, skuad kendalian Chris O'Reilly meraih gol pada minit ke-18 hasil pukulan penalti yang disudahkan Damon Steffens dan pada minit ke-35.

Dia sekali lagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti untuk merapatkan jurang gol 2-4. Namun Lakra Shilanand melebarkan jaringan India pada minit ke-43 menerusi gol padang tapi Steffens melengkap hatrik kali kedua kejohanan itu selepas menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59 meletak kedudukan 3-5.

Steffens sekali lagi mencipta jaringan di penghujung perlawanan menerusi pukulan sudut penalti untuk merapatkan jaringan 4-5 namun sudah terlewat tatkala India lega untuk menewaskan Australia pada perlawanan itu.

593 dibaca
Berita Harian X