Jumaat, 14 September 2018 | 8:00pm
GAMBAR fail, Timbalan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen A. Daud. - Foto Owee Ah Chun

Persatuan luah kekecewaan

KUALA LUMPUR: Selain Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), beberapa persatuan sukan lagi turut tampil meluahkan kekecewaan mereka sekiranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menggugurkan sukan yang tidak dipertandingkan di Olimpik daripada Program Podium. 

Antaranya ialah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan presidennya, Nik Razeen A Daud mengakui pihaknya tidak gembira dengan cadangan itu.

Malah, beliau berkata cadangan itu seolah-olah tidak mengiktiraf pencapaian serta sumbangan mereka selama ini.

"Bukan hendak bangga diri tetapi di Sukan Asia lalu, berapa pingat yang kami sumbangkan kepada kontinjen negara. Pada saya, ganjaran dan pengiktirafan harus diberikan kepada mereka yang berjaya. Mereka yang gagal pula kita perlu mencari jalan lain untuk menyelesaikannya. Kita yang berjaya takkan pula kena buang," katanya pada majlis penutup Bengkel 'Post Mortem' Program Podium di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. 

Menurut Nik Razeen, pemain skuasy ternyata mendapat impak yang positif selepas diletakkan dalam Program Podium dan berharap mereka terus dikekalkan bagi memastikan kejayaan itu berterusan dan tidak terhenti sekerat jalan. 

"Kita mengambil kesempatan dan memahami program ini dengan sebaik mungkin, malah jika bertanya kepada pemain pun mereka sudah tentu mahu program ini diteruskan. 

"Program ini sebenarnya bagus, cuma laporan akhbar saja yang menyatakan bahawa hanya sukan dipertandingkan di peringkat Olimpik bakal dikekalkan," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok yakin  sukan itu tidak akan dianaktirikan walaupun digugurkan daripada program berkenaan. 

"Secara jujurnya, MTBC sentiasa bekerjasama rapat dengan MSN, ISN serta Program Podium sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kerjasama ini yang menghasilkan beberapa kejayaan termasuk di Sukan Asia lalu," katanya. 

Sukan NSTP semalam melaporkan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali memberi bayangan atlet daripada sukan yang tidak dipertandingkan di Olimpik kemungkinan besar akan digugurkan daripada Program Podium.

Ia bagi memberi fokus sepenuhnya untuk merealisasikan matlamat meraih pingat emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020. 

232 dibaca
Berita Harian X