Jumaat, 14 September 2018 | 7:09pm
GAMBAR fail, Ketua PengarahMajlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail di MSN Bukit Jalil. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Sukan gugur tak dianaktirikan'

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi jaminan tidak akan sesekali ‘menganaktirikan’ mana-mana sukan sekiranya terpaksa digugurkan daripada Program Podium.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun berkata, perkara itu tertakluk kepada peruntukan kewangan yang disalurkan oleh pihak kerajaan.

“Perasaan (persatuan sukan) mereka bercampur-baur kerana persatuan yang tidak terbabit itu pastinya akan terasa tetapi mereka ada persepsi yang berbeza. Namun, kita tidak boleh menafikan hak sukan-sukan yang tidak dipertandingkan pada Olimpik.

“Selama ini pun, MSN, ISN (Institut Sukan Negara) dan khususnya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tidak pernah pun menafikan sukan-sukan yang ada kelebihan baik pada Olimpik mahupun tidak. 

Selama ini kita bantu sukan seperti skuasy, silat dan sepak takraw yang tidak dipertandingkan pada Olimpik dan kita juga bantu sukan yang ada di Olimpik seperti badminton, olahraga dan lain-lain.

“Jadi, saya fikir perkara itu tidak perlu menjadi kegusaran persatuan sukan kerana mereka sendiri tahu kerajaan akan sentiasa bersama mereka kerana itulah pendekatan yang kita amalkan sebelum ini,” kata Shapawi ketika ditanya mengenai penerimaan cadangan untuk menggugurkan sukan yang tidak dipertandingkan pada Olimpik daripada Program Podium.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Bengkel ‘Post Mortem’ Program Podium, hari ini.

Semalam, Meja Sukan NSTP melaporkan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali memberi bayangan atlet sukan yang tidak dipertandingkan pada Olimpik kemungkinan besar akan digugurkan daripada Program Podium bagi membolehkan fokus sepenuhnya dibuat dalam usaha mencapai matlamat meraih pingat emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020.

Mengulas mengenai bengkel yang berlangsung selama dua hari itu, Shapawi berkata pihaknya menerima pelbagai cadangan bagi penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam Program Podium namun memberi tempoh kepada semua persatuan yang terbabit sehingga Selasa ini bagi memberi maklumat yang lebih lengkap berhubung perkara yang perlu diberi penekanan.

“Kita sudah merumuskan beberapa perkara yang akan diteliti semula oleh persatuan sukan yang hadir dan mereka akan kemukakan maklumat yang lebih lengkap mengenai perkara yang diberi penekanan. Kita ada sehingga Selasa ini bagi persatuan sukan memberi maklum balas.

“Selepas itu kita akan merumuskannya secara keseluruhan dan bentangkan kepada KBS khususnya kepada menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya.

127 dibaca
Berita Harian X