Jumaat, 14 September 2018 | 7:02pm
GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How di Pusat Media SUKMA di Jabatan Belia dan Sukan. - Foto ihsan Sekretariat SUKMA

Jangan cetuskan spekulasi kes beguk

IPOH: Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Perak menegaskan, kes beguk kedua yang berlaku pada temasya kali ini adalah tidak berkaitan - selepas atlet boling padang wanita Negeri Sembilan dijangkiti daripada keluarganya sendiri, sebelum berangkat ke Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee berkata, atlet boling padang berumur 19 tahun itu disahkan positif virus beguk selepas ujian dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dikeluarkan semalam.

"Dengan segala maklumat yang kita ada, saya mahu nyatakan yang kes berlaku kepada pemain futsal Sabah dan juga atlet Negeri Sembilan adalah langsung tidak berkaitan.

"Kedua-dua kes ini adalah berasingan dan saya tak mahu timbulnya spekulasi menyalahkan mana-mana pihak," katanya dalam sidang media di Pusat Media Utama di sini, hari ini.

Selasa lalu, pasukan futsal lelaki dan wanita Sabah mengambil keputusan menarik diri daripada saingan temasya kali ini selepas pemain wanita berumur 16 tahun kontinjen itu didapati positif beguk.

Dalam kes terbaru membabitkan atlet boling Negeri Sembilan pula, kontinjen negeri itu mengambil keputusan menghantar pulang sembilan atlet dan dua pegawai yang terdedah dengan pesakit beguk itu malam tadi, sekali gus tidak meneruskan saingan saingan SUKMA.

"Satu keputusan telah dibuat bersama kontinjen Negeri Sembilan bagi tujuan rawatan dan pemulihan. Keputusan pencegahan awal telah dibuat sebaik sahaja gejala beguk itu dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNPk).

Howard berkata, penganjur juga membenarkan kontinjen Negeri Sembilan membawa masuk seorang atlet boling padang wanita dari Negeri Sembilan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan atlet wanita asal dalam acara boling padang campuran.

Acara boling padang campuran membabitkan seorang pemain lelaki dan seorang wanita.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKNPk, Dr Norisah Mahat Nor berkata, pasukan boling padang lelaki Negeri Sembilan dibenar meneruskan saingan kerana siasatan mendapati mereka tidak mempunyai hubungan rapat dengan pasukan boling padang wanita (seramai sembilan atlet).

285 dibaca
Berita Harian X