Jumaat, 14 September 2018 | 6:35pm
GAMBAR fail, Gavin Kyle Green sewaktu beraksi pada pusingan hari ketiga Kejohanan Golf Maybank Championship di Kelab Golf Saujana, Subang, Februari lalu. - Foto Aizuddin Saad

Green raih slot terakhir Piala Dunia golf

KUALA LUMPUR: Pemain golf terkemuka Malaysia, Gavin Kyle Green mendapat slot terakhir untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Dunia Golf ISPS HANDA Melbourne 2018, yang dijadualkan dari 22 hingga 25 November di Kelab Golf Metropolitan, Melbourne Sandbelt, Australia.

Pemain ranking ke-173 dunia itu antara 28 pemain yang dinamakan oleh pegawai kejohanan, hari ini untuk beraksi dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$7 juta (RM28.971 juta) yang menampilkan 56 pemain terkemuka dari 28 negara.

Green dipilih untuk menyertai kejohanan itu selepas dua pemain terkemuka -- C T Pan dari Taiwan dan pemain dari Chile, Joaquin Niemann mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding.

Pemain berusia 24 tahun itu mencipta sejarah pada 2017 apabila muncul sebagai wakil Malaysia pertama menjulang gelaran “Asian Tour Order of Merit” dan juga pemain golf kedua termuda selepas Noh Seung-yul dari Korea Selatan untuk memenangi anugerah itu.

Pada musim ini, dia buat julung kalinya menjuarai Jelajah Asia di Masters Taiwan, selain selaku naib juara tiga kali masing-masing di Terbuka India, Terbuka Shinhan Donghae dan Kejohanan Warisan Yeangder.

Baru-baru ini, Green menamatkan aksinya di tempat ketiga Masters Czech dan tempat ke-12 bersama dalam Masters Eropah.

Dua pemain golf Malaysia - veteran Danny Chia dan Nicholas Fung berganding tenaga dan mendapat tempat ke-22 dalam edisi 2016, yang berlangsung di Kingston Health Golf Club, Melbourne.

Keputusan terbaik pernah diraih wakil Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu menerusi M. Ramayah dan mendiang P. Gunasegaran yang mendapat tempat kesembilan dalam edisi 1994 di Puerto Rico.

Pemain terbaik yang terpilih dari setiap 28 negara diberi masa sehingga 20 September ini untuk memilih gandingan mereka dalam kejohanan ini.

Kejohanan 72 lubang berpasukan itu akan menggunakan format “Four-ball” pada pusingan pertama dan ketiga, sementara format “Foursomes”, pada pusingan kedua dan terakhir.

Kejohanan Piala Dunia Golf ISPS HANDA Melbourne 2018 adalah satu daripada lima kejohanan yang diluluskan Jelajah PGA, selain daripada empat acara dalam siri Kejohanan Golf Dunia yang dikawal selia ​​​​​​​badan itu. -BERNAMA

84 dibaca
Berita Harian X