;
Khamis, 17 Mei 2018 | 6:05pm
LEONG MUN YEE

Terjun: Mun Yee berlatih ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee optimis menyajikan aksi terbaik bersama pasangan, Jellson Jabillin menjelang Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan, China dari 5 hingga 10 Jun ini.

Mun Yee berkata, ia adalah penampilan pertamanya bersama penerjun muda, Jellson di kejohanan bertaraf dunia.

"Selepas tamat Siri Terjun Dunia FINA 2018, kami menjalani latihan di China kira-kira dua minggu untuk menghadapi Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan pada awal Jun.

"Saya akan bergandingan bersama Jellson dalam acara 10 meter platform seirama campuran dan ia adalah penampilan pertama Jellson di Piala Dunia.

"Jadi, saya rasa buat masa ini saya sasarkan untuk berada dalam kedudukan enam terbaik," kata Mun Yee, ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mun Yee berkata, dia juga dalam proses pemulihan kerana keadaan badan yang agak penat selepas mengharungi beberapa kejohanan tahun ini antaranya adalah Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia dan Siri Terjun Dunia FINA 2018.

Untuk rekod, ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu, Mun Yee dan Jellson memenangi pingat emas dalam acara 10 meter platform seirama campuran dengan 311.94 mata.

Mereka mengatasi wakil Singapura, Freida Lim Shen-Jonathan Chan Fan Keng yang meraih perak selepas mengumpul 278.28 mata dan gangsa milik gandingan Indonesia, Della Dinarsari Harimurti-Andriyan (244.32 mata).

401 dibaca
Berita Harian X