Khamis, 17 Mei 2018 | 5:43pm
PASUKAN bola tampar pantai wanita UniMAP yang diwakili Nurul Ashikin Mohd Josrie dan Siti Aminah Romly muncul juara Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun 2018.

UniMAP juara bola tampar pantai wanita

KUALA LUMPUR: Pasukan bola tampar pantai wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun 2018 yang berlangsung di Pantai Chenang, Langkawi, baru-baru ini.

UniMAP yang diwakili Nurul Ashikin Mohd Josrie dan Siti Aminah Romly berjaya menewaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) A dengan kutipan mata 21-12, 21-14 di pusingan akhir.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin berkata, sebelum menempah tiket ke peringkat akhir, UniMAP menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan keputusan 21-14, 21-7 di pusingan separuh akhir.

Katanya, setiap pasukan yang mengambil bahagian memberi cabaran kepada pasukan mereka meskipun sebelum ini UniMAP cemerlang di Sukan Badan Berkanun (SUKANUN).

"Kejayaan UniMAP ini sudah tentu membanggakan memandangkan ini penyertaan julung kali di karnival berkenaan.

"Ia akan menjadi pendorong kepada kejayaan lain di karnival akan datang dan UniMAP akan berusaha lebih gigih mulai sekarang," katanya.

Pada karnival berkenaan, UniMAP turut menghantar dua lagi penyertaan iaitu bola sepak pantai lelaki dan bola tampar pantai lelaki namun masing-masing berjaya ke peringkat suku akhir serta kumpulan.

Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun adalah sukan dwi-tahunan Persatuan Badan Berkanun Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kali ini.

Sebanyak lapan kategori sukan dipertandingkan di karnival itu antaranya petanque pantai, sepak takraw pantai, bola jaring pantai, bola sepak pantai dan bola tampar pantai.

129 dibaca
Berita Harian X