;
Khamis, 17 Mei 2018 | 1:34pm
SHAZRIL Irwan Nazli (kiri) sedia mempertimbangkan untuk kembali beraksi bersama kelab Racing Club de France sekali lagi pada musim depan. - Foto fail NSTP

Shazril sedia kekal beraksi di Perancis

KUALA LUMPUR: Pemain hoki negara yang beraksi bersama Racing Club de France (RCF) di Liga Elit Perancis, Shazril Irwan Nazli sedia mempertimbangkan untuk kembali beraksi bersama kelab itu sekali lagi pada musim depan.

Khidmat bekas pemain skuad Projek 2013 itu bersama RCF secara rasminya berakhir selepas membantu pasukannya itu memenangi kejuaraan liga, tetapi gagal mara ke pentas final Piala Liga Perancis.

Shazril juga tidak dapat memenuhi hasrat utamanya beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) bersama RCF selepas Persatuan Hoki Eropah (EHF) menolak permohonan kelab itu yang lewat mendaftarkan namanya serta seorang lagi pemain negara, Rashid Baharom.

"Jurulatih kelab ini ada menawarkan saya untuk beraksi lagi musim depan, kerana RCF sekali lagi layak beraksi di EHL.

"Tetapi saya belum membuat sebarang keputusan sebab ada beberapa perkara yang perlu saya pertimbangkan termasuklah sekiranya dapat dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi.

Jelas Shazril, banyak pengalaman yang dilaluinya sepanjang beraksi di RCF selepas Rashid lebih awal meninggalkan pasukan kerana faktor kecederaan.

"Skuad kebangsaan Perancis yang sekarang juga bukan seperti dulu, kerana mereka sudah layak beraksi di Piala Dunia. Jadi sudah pasti kualiti liga mereka lebih baik," katanya.

368 dibaca
Berita Harian X