;
Khamis, 17 Mei 2018 | 10:55am
Pelumba Amerika Syarikat (AS), Tejay Van Garderen.

Van Garderen rampas pendahulu Tour of California

LOS ANGELES: Pelumba Amerika Syarikat (AS), Tejay Van Garderen mendahului perlumbaan berbasikal Tour of California hari ini dengan kemenangan peringkat empat, ujian masa sejauh 34.7 kilometer (km) di San Jose.

Penunggang BMC berusia 29 tahun itu menang dengan catatan 40 minit 47 saat, tujuh saat di depan rakan sepasukan, Patrick Bevin dari New Zealand. Penunggang Britain, Tao Geoghegan Hart (Sky) ketiga, 32 saat di belakang.

Van Garderen, bersaing di California buat pertama kali sejak menang edisi 2013, memenangi saingan peringkat buat kali kedua dalam kalendar perlumbaan di AS itu.

Dia merampas jersi kuning selaku pendahulu daripada pelumba Colombia yang mewakili Sky, Egan Bernal, yang mengungguli perlumbaan sejak menang peringkat kedua, kelmarin.

"Hari ini ada motivasi istimewa," kata Van Garderen yang turut menerima sokongan keluarganya.

Katanya, dia sudah merasakan jika dia kekal dalam jarak yang selamat pada saingan Isnin lalu ketika penamat berbukit di Gibraltar Road, dia boleh merampas jersi kuning ketika ujian masa.

"Saya masih ingat di sini, lima tahun lalu. Saya tidak jangkakan ia lebih baik, tetapi saya sudah memikirkannya mengenai Gibraltar bahawa jika saya boleh berada dalam lingkungan seminit, mungkin saya boleh dapat pada hari ini.

"Hari ini akan menjadi keputusan besar saya - saya gembira berjaya melakukannya."

Bernal menamatkan saingan 1 minit 23 saat di belakang Van Garderen apabila menghabiskan perlumbaan di tangga ke-18 dan kini ketinggalan 23 saat secara keseluruhan. - AFP

64 dibaca
Berita Harian X