Rabu, 16 Mei 2018 | 5:02pm
MUHAMMAD DHAARMA RAJ ABDULLAH

Malaysian Tigress 'tawan' Jepun lagi

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara mencerahkan peluang untuk beraksi dalam penentuan tempat ketiga saingan Trofi Juara-Juara Asia selepas mencipta kejutan menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan ketiga di Donghae, Korea Selatan hari ini. 

Kejayaan itu pastinya cukup manis untuk anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selepas tewas dua perlawanan kepada Korea Selatan dan China selain mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Singapura apabila menewaskan Jepun 2-0 ketika itu. 

"Pastinya sesuatu yang menggembirakan apabila memenangi perlawanan ke atas pasukan yang menduduki ranking ke-12 dunia. 

"Pujian wajar diberikan kepada setiap pemain kerana mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi.  

"Peningkatan permainan sememangnya dapat dilihat sejak perlawanan pertama lagi, tetapi kali ini kita dapat kemenangan yang cukup bermakna," kata Dhaarma. 

Malaysian Tigress tidak perlu menunggu lama untuk di depan selepas penyerang, Nur Zafirah Aziz menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi jaringan padang berpunca daripada kesilapan penjaga gol lawan.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Ishibashi Yui menyamakan kedudukan minit kesembilan. 

Fatin Shafika Shukri kembali meletakkan skuad negara di depan selepas tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-21 sebelum Nuraslinda Said menambah gol ketiga hasil gol padang (m-30). 

Jepun tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya mereka berjaya merapatkan jurang di minit ke-34 selepas Shimizu Minami menjaringkan gol padang. 

Lawan terus menggandakan asakan selepas itu, namun mujur penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya mempamer aksi cemerlang termasuk menafikan satu penalti stroke lawan di hujung suku ketiga. 

Malaysia akan turun pada perlawanan terakhir saingan yang berlangsung secara round robin itu dengan bertemu India, esok. 

"India pasti sukar tetapi kami tetap turun dengan misi untuk mencari kemenangan," kata Dhaarma.

Info

Jadual Trofi Juara-Juara Asia

Esok 

Malaysia mln India, 1.30 ptg

Korea mln China, 3.30 ptg

(Stadium Sunrise)

1790 dibaca
Berita Harian X