Selasa, 17 April 2018 | 6:00pm
PRESIDEN PKBM, Datuk Abu Samah Wahab akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat terhadap penganjur Jelajah Malaysia 2017. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Tindakan undang-undang terhadap penganjur JM2017

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak lagi akan berlembut terhadap penganjur Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), LifeProFit Sdn Bhd apabila akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu wang kemenangan.

Perkembangan berkenaan disuarakan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab selepas tempoh diberikan pihaknya berakhir semalam.

"Kita terpaksa memulakan proses tindakan mahkamah dan menyerahkan kepada peguam apabila tempoh diberikan untuk menyelesaikan wang kemenangan sudah berakhir.

"Bukan saja wang kemenangan berjumlah kira-kira RM160,000 namun bayaran kepada PKBM berjumlah RM77,000 bagi sewa peralatan dan sebagainya juga gagal dilunaskan. Kita akan tuntut menerusi tindakan undang-undang," jelas Abu Samah.

Pelumba senior negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi pada bulan lalu membangkitkan isu wang kemenangan di JM2017 dan Tour de Selangor (TdS) 2017 yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun wang kemenangan TdS 2017 sudah diselesaikan minggu lalu.

"Ia (tindakan undang-undang) adalah langkah terpaksa dilakukan demi menjaga kebajikan semua pihak terutamanya pelumba," tambahnya.

JM2017 berada dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berstatus 2.2 yang menerima penyertaan pasukan dalam dan luar negara.

395 dibaca
Berita Harian X