Ahad, 15 April 2018 | 9:41pm
BOLT (tengah) beraksi sebagai deejay ketika majlis penutup Sukan Komanwel 2018. - Foto Reuters

Deejay Bolt warnai upacara penutup

GOLD COAST: Usain Bolt muncul selaku DJ ketika Gold Coast mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan Komanwel selepas berakhirnya temasya 11 hari yang menyaksikan Australia dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Bolt melakukan kejutan di atas pentas ketika majlis penutup yang berlangsung penuh gemilang bertemakan budaya Orang Asli meskipun protes tetap dilakukan di luar stadium.

Australia menamatkan saingan dengan 80 pingat emas, jauh meninggalkan England yang meraih 45 emas dan India dengan 26 emas pada temasya yang turut menampilkan atlet Paralimpik dan acara dibahagikan seimbang antara lelaki dan wanita.

"Kepada mereka yang menjadikan temasya ini satu kenyataan, andalah yang terbaik! Anda membanggakan kami semua," kata Ketua Queensland, Annastacia Palaszczuk diiringi penyerahan bendera Komanwel kepada tuan rumah edisi 2022, Birmingham.

Australia mendominasi acara kolam renang dan berbasikal sementara Jamaica merasai kehilangan Bolt yang bersara apabila mereka bergelut dalam acara pecut.


RESTLESS Dance Theatre membuat persembahan terakhir yang membawa mesej 'Put a Little Love in Your Heart' sempena penutupan Sukan Komanwel ke-21 diCarrara Sports and Leisure Centre di Gold Coast, Australia. -Foto BERNAMA

Sukan Komanwel kali ini turut menampilkan atlet transgender pertama dan penerjun homoseksual dari England, Tom Daley yang mencetuskan kontroversi apabila mendesak 37 negara Komanwel yang menentang homoseksual supaya mengubah undang-undang mereka membabitkan homoseksual.

Tiada laporan membabitkan kegagalan ujian penyalahgunaan dadah walaupun India berdepan dengan dua insiden membabitkan 'polisi tiada jarum' yang menyaksikan dua atlet mereka dihantar pulang.

Bagaimanapun, beberapa protes dapat disaksikan daripada aktivis yang menggelar temasya itu sebagai 'Sukan Stolenwealth' yang merujuk kepada penjajahan Britian ke atas Australia.

Pada majlis penutup itu, kira-kira 100 individu yang melakukan protes dihalang daripada berarak ke dalam stadium bagi mengelak daripada konfrontasi yang berlaku seperti pada majlis pembukaan sebelum ini. - AFP

780 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »