Ahad, 15 April 2018 | 8:16pm
PELUMBA TSC, Zawawi Azman (tengah) dinobatkan selaku pemenang jersi merah polka dot selaku raja bukit pada perlumbaan Tour de Lombok hari ini.

TSC pasukan terbaik Tour de Lombok 2018

 

KUALA LUMPUR: Team Sapura Cycling (TSC) mengharumkan nama Malaysia apabila muncul pasukan terbaik keseluruhan selepas tamat peringkat ketiga perlumbaan Tour de Lombok Mandalika 2018, Indonesia sejauh 110 kilometer (km) hari ini.

Kejayaan TSC berkenaan bertambah manis apabila pelumbanya, Aiman Cahyadi dinobatkan selaku Raja Pecut, manakala Zawawi Azman pula menang jersi Merah Polka Dot selaku Raja Bukit.

Bagaimanapun, jersi kuning selaku juara keseluruhan Tour de Lombok menjadi milik Forca Amskins Racing (FAR), Álvaro Duarte Sandoval yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa penuh 9 jam 44 minit 9 saat; diikuti Zawawi yang hanya ketinggalan 53 saat (9:45.02s) dan seorang lagi pelumba TSC, Jahir Perez ketiga (9:45.35s).

Perlumbaan peringkat terakhir hari ini dimenangi oleh pelumba Jepun, dari pasukan Aisan Racing Team, Kuroed Shiki, dengan catatan masa 2:39:39s; diikuti pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Anuar Manan (kedua), manakala wakil TSC, Aiman Cahyadi, ketiga dengan catatan masa sama.


Pasukan TSC dinobatkan selaku pasukan terbaik keseluruhan Tour de Lombok 2018.

Sementara itu, Pengurus TSC, Sayuti Zahit, gembira dengan kejayaan mereka dinobatkan selaku pasukan terbaik, Raja Bukit dan Raja Pecut selain tempat kedua dalam merebut jersi kuning selaku juara keseluruhan Tour de Lombok 2018. 

Malah, Sayuti berkata jika perancangan asalnya menjadi, pelumba muda TSC, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil akan berjaya menaiki podium di peringkat akhir perlumbaan Tour de Lombok hari ini.

"Bagaimanapun, rancangan itu terbantut selepas Izzat terlepas kumpulan yang melakukan 'breakaway' tetapi dia berjaya mengutip mata sehingga tiba di pertengahan pecutan kedua, sebelum berjaya masuk semula ke dalam pelaton.

"Izzat kemudian bersedian melakukan henjutan namun tersangkut pada jarak 500 meter sebelum garisan penamat dan berjaya dipintas pelumba lain termasuk Aiman Cahyadi yang menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan hari ini," katanya.

Kejayaan muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 baru-baru ini menjadi azimat dan pembakar semangat buat Zawawi untuk menang peringkat kedua Tour de Lombok Mandalika 2018 Indonesia, semalam.

Zawawi muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dari Pusat Islam Lombok ke Sembalun sejauh 172.4km dengan catatan masa 5 jam 11 minit 49 saat, diikuti Álvaro Duarte Sandoval dari FAR di tempat kedua, manakala seorang lagi pelumba TSC, Wilmar Jahir Perez Munoz (ketiga).

277 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »