Ahad, 18 March 2018 | 4:30pm
HENRIK STENSON

Stenson kekal pendahulu, Woods hidupkan peluang

MIAMI: Pemain golf Sweden, Henrik Stenson mengekalkan kelebihan satu pukulan selaku pendahulu ketika Tiger Woods, Rory McIlroy dan Justin Rose bangkit menghidupkan peluang untuk memburu kejuaraan selepas berakhir hari ketiga PGA Arnold Palmer Invitational, hari ini.

Stenson yang juga bekas pemenang Terbuka British 2016 melakukan satu bawah par 71 untuk keseluruhan 12 bawah par 204 selepas berakhir saingan 54 lubang di Bay Hill.

Pendahulu bersama hari kedua dari Amerika Syarikat (AS), Bryson DeChambeau melakukan 72 untuk ketinggalan satu pukulan.

Stenson tampak bergelut untuk melebarkan kelebihannya dengan membenarkan Rose, McIlroy dan Woods serta beberapa pemain lain memiliki peluang mencabar kejuaraan, malah ada 12 pemain hanya ketinggalan lima pukulan di belakangnya.

"Saya boleh mendahului dengan dua atau tiga pukulan untuk berada di kedudukan yang selesa tetapi saya bergelut beberapa kali dan saya kembali untuk cuba memberikan segala-galanya," kata Stenson.

Juara empat gelaran utama, McIlroy yang memerlukan jaket hijau Masters untuk melengkapkan gelaran utamanya melakukan dua birdie pada tiga lubang terakhir untuk mencatat 67 dan berada di tangga ketiga dengan keseluruhan 206.

Rose yang juga pemain England pula melakukan enam birdie untuk turut mencatat 67 pada hari ketiga dan berkongsi kedudukan keempat dengan keseluruhan 207 bersama pemain Amerika Syarikat (AS), Ryan Moore.

Ia diikuti pemain Korea Selatan, An Byeong-hun yang berkongsi catatan 208 bersama Rickie Fowler, Talor Gooch dan Charley Hoffman.

Woods yang melakukan dua birdie pada tiga lubang terakhir mencatat 69 untuk berkongsi kedudukan ke-10 dengan 209 bersama rakan senegaranya dari AS, Patrick Reed, Bud Cauley dan Grayson Murray.

"Saya kira saya berpeluang muncul juara jika saya melakukan pukulan yang paling rendah esok," kata Woods. - AFP

Keputusan pusingan ketiga 

204 - Henrik Stenson (SWE) 64-69-71

205 - Bryson DeChambeau (AS) 67-66-72

206 - Rory McIlroy (NIR) 69-70-67

207 - Justin Rose (ENG) 69-71-67, Ryan Moore (AS) 71-67-69

208 - Charley Hoffman (AS) 71-66-71, Rickie Fowler (AS) 67-71-70, Talor Gooch (AS) 65-70-73, An Byeong-hun (KOR) 68-68-72

209 - Grayson Murray (AS) 71-69-69, Tiger Woods (AS) 68-72-69, Bud Cauley (AS) 72-67-70, Patrick Reed (AS) 68-70-71

210 - Ollie Schniederjans (AS) 71-71-68, Graeme McDowell (NIR) 69-72-69, Chris Kirk (AS) 71-69-70, Sam Burns (AS) 69-70-71

211 - John Huh (AS) 72-73-66, Austin Cook (AS) 72-73-66, Jason Day (AUS) 73-71-67, Patrick Rodgers (AS) 72-71-68, Brian Stuard (AS) 74-69-68, Sam Horsfield (ENG) 70-73-68, William McGirt (AS) 70-71-70, Jamie Lovemark (AS) 73-68-70, Zach Johnson (AS) 69-71-71, Billy Horschel (AS) 68-70-73

 

 

158 dibaca
Berita Harian X