;
Rabu, 14 March 2018 | 6:36pm
PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong berkongsi kejayaan melalui rakaman video selepas dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2017 pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2017, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Anugerah Olahragawati suntik semangat Jun Hoong

KUALA LUMPUR: Dinobatkan sebagai Olahragawati kebangsaan 2017 buat kali pertama menyuntik semangat buat ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong memburu lebih banyak kejayaan gemilang selepas ini.

Mengakui terkilan kerana tidak dapat bersama menerima anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V itu kerana perlu fokus kepada kejohanan Siri Terjun Dunia yang kedua di Jepun bermula esok, Jun Hoong bagaimanapun mengakui dia cukup gembira dengan penganugerahan itu. 

"Saya sangat kecewa kerana tidak dapat menerima anugerah itu, tetapi saya ada tanggungjawab lain dan semuanya adalah untuk satu tujuan yang baik iaitu berusaha membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi dalam sukan terjun ini.

"Terima kasih atas pengiktirafan ini dan kepada semua, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara)," katanya.

Jun Hoong menganggap penganugerahan itu sebagai tonik berharga buatnya menjelang temasya Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan.

Bagaimanapun pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio dalam acara 10m terjun seirama itu mengakui banyak yang perlu dilakukan agar dapat kembali ke prestasi terbaik secepat mungkin. 

Dia yang kini berada di Jepun untuk menyertai Siri Terjun Piala Dunia kedua di Jepun akan turun beraksi dalam acara 10 meter seirama bergandingan dengan Pandelela Rinong, esok. 

Selain itu, satu lagi pasangan terjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee akan beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama.

Pada siri yang pertama di Beijing, China, gandingan Jun Hoong bersama Pandelela meraih pingat perak dalam 10 meter platform seirama.

147 dibaca
Berita Harian X