Rabu, 14 March 2018 | 2:33pm
WOODS (kanan) bergandingan dengan Els untuk mengetuai cabaran Piala Presiden 2019. FOTO/AFP

Woods, Els kapten Piala Presiden 2019

ORLANDO, Amerika Syarikat: Tiger Woods dan Ernie Els mengalih perseteruan mereka di peringkat antarabangsa apabila kedua-duanya secara rasmi dinamakan sebagai kapten pasukan bagi Piala Presiden 2019.

Woods yang memegang rekod kejohanan dengan 24 kemenangan buat Amerika Syarikat dan Els yang memenangi 20 perlawanan bersama pasukan Antarabangsa akan mengemudi pasukan masing-masing pada edisi 2019 di Australia dari 12 hingga 15 Disember di Royal Melbourne.

Pengumuman itu dibuat di Bay Hill, lapangan yang menjadi gelanggang bagi kejohanan Jemputan Arnold Palmer dalam Jelajah PGA AS, minggu ini.

Pemenang empat gelaran utama dari Afrika Selatan, Els pernah bergelar naib juara di belakang Woods dalam tujuh kejohanan sepanjang karier profesionalnya termasuk dua kali pada kejohanan utama, Terbuka AS dan Terbuka British pada 2000.

Kedua-duanya bertindak sebagai penolong kapten bagi Piala Presiden 2017 yang menyaksikan AS menang 19-11 di Liberty National, New Jersey.

Els dan Woods juga berkongsi memori ikonik pada Piala Presiden 2003 apabila mereka terikat di saingan playoff kalah mati bagi menentukan kejuaraan.

Pertembungan antara mereka berlangsung penuh sengit dan berlarutan hingga tiga lubang sebelum kilat memaksa penganjur menamatkan kejohanan di Afrika Selatan itu dengan keputusan seri.

"Tiger dan saya mempunyai beberapa persaingan yang hebat sebelum ini, dan saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran menentang rakan lama saya sekali lagi pada 2019," kata Els.

Woods yang kembali beraksi selepas mengharungi pembedahan tahun lalu tampak berada dalam keadaan terbaik selepas menamatkan saingan berkongsi tangga kedua pada Kejuaraan Valspar minggu lalu

Malah legenda golf berusia 42 tahun itu tersenyum apabila berfikir untuk turut bermain selain menjadi kapten.

"Ia jambatan yang amat panjang untuk anda lepasi dan jika ia sampai ke tahap itu, ia bukannya keputusan saya seorang, ia adalah usaha bersama, apa yang terbaik untuk pasukan," kata Woods. - AFP

157 dibaca
Berita Harian X