Selasa, 13 March 2018 | 9:21pm
KONTINJEN Malaysia yang menyertai Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSC) 2018 hadir pada majlis pembukaan di Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Faiz Anuar

300 penembak berentap di WUSC

SHAH ALAM: Hampir 300 peserta dari 24 negara dari benua Asia dan Eropah kini sudah bersedia bertarung merebut 16 pingat emas keseluruhan yang ditawarkan di Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSC) 2018, bermula esok sehingga 18 Mac ini. 

Kejohanan edisi ketujuh di Lapang sasar Menembak Kebangsaan Subang itu turut disertai penembak handalan bertaraf dunia dari Itali, Perancis, Poland, Russia, Republik Czech selain pasukan terkuat Asia, termasuk China dan India.

Sejumlah 16 pingat emas secara keseluruhan ditawarkan bagi kategori lelaki dan wanita, dalam tiga disiplin utama menembak menerusi acara Rifle, Pistol dan Shotgun (Skeet dan Trap).

Kejohanan dwi tahunan sebelum ini (edisi keenam) berlangsung di Bydgoszcz, Poland pada 2016 dan Malaysia menjadi pasukan pertama dari Asia yang memenangi pingat emas pada acara 50meter Air Pistol pada kejohanan edisi kelima di Al Ain, Emeriah Arab Bersatu (UAE).  

Bagi edisi kali ini, Malaysia selaku tuan rumah menghantar 15 peserta lelaki dan wanita untuk mengambil bahagian dalam kejohanan selama lima hari itu.

Majlis Pembukaan Kejohanan WUSC edisi kali ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, sebentar tadi.

Mary di dalam ucapannya berkata, kejohanan itu diharap dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran peserta yang majoritinya masih muda untuk mencipta nama di pentas lebih tinggi pada masa depan.

Beliau berkata, kejohanan yang disertai 24 negara dari serata dunia ini juga membuktikan, kejohanan menembak WUSC adalah pertandingan yang kompetetif di peringkat antarabangsa.

"Fokus pertandingan ini tidak hanya bertujuan meningkatkan hubungan antara negara, tetapi mampu meningkatkan kemahiran peserta di dalam sukan ini.

"Selepas beberapa bulan berlatih, kini tibalah masa untuk anda semua membuktikan segala usaha yang dilakukan sebelum ini berbaloi. Saya ucapkan selamat berjaya," katanya.

161 dibaca
Berita Harian X