Selasa, 13 March 2018 | 6:01pm
PENGERUSI ISN, Datuk Seri Azim Zabidi (kiri) dikatakan bakal dicabar oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi perebutan kerusi Timbalan Presiden MOM. - Foto NSTP

Hamidin tak salah bertanding

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pasti menarik apabila Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Azim Zabidi dikatakan bakal dicabar oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Bagaimanapun tidak seperti Azim, Hamidin sehingga kini masih belum menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk bertanding dalam pemilihan ahli jawatankuasa MOM yang dijangka berlangsung pada Jun ini.

Namun ada pihak beranggapan, Hamidin yang kini sibuk dengan tugasnya bersama FAM tidak seharusnya memegang jawatan penting dalam MOM.

Namun bekas Naib Presiden MOM dan Setiausaha Agung FAM, Tan Sri Dr Ibrahim Saad berkata, persepsi itu tidak seharusnya berlaku selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan.

"Ia bukan satu kesalahan daripada segi perlembagaan dan etika untuk mana-mana pegawai bergaji dengan FAM untuk bertanding bagi merebut jawatan dalam pemilihan MOM akan datang.

"Seingat saya, pemilihan MOM berlangsung pada Mei dan saya melepaskan jawatan saya di FAM pada Ogos," kata Ibrahim.

"Tidak ada halangan untuk mana-mana pekerja bertanding untuk merebut jawatan dalam pemilihan. Harus diingat, berkhidmat dengan MOM adalah tugas sukarelawan, jadi ia bukan satu kesalahan," katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perebutan kerusi nombor dua MOM itu memandangkan Hamidin masih belum menyatakan kesediaan untuk bertanding.

"Hamidin masih belum buat keputusan untuk bertanding. Tapi jika beliau mahu bertanding, saya fikir beliau adalah pilihan terbaik memandangkan pengalamannya serta kecekapannya dalam pentadbiran organisasi sukan. Ia bakal menjadi aset penting buat MOM," katanya.

867 dibaca
Berita Harian X