Selasa, 13 March 2018 | 4:04pm
DUA tonggak bola jaring negara, Siti Norfarhana Mustafa (kiri) dan Izyan Syazana Mohd Wazir menolak tawaran beraksi bersama skuad negara. - Foto NSTP

Norfarhana, Izyan tinggalkan skuad emas

KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring negara bakal kehilangan dua tonggak apabila Siti Norfarhana Mustafa dan Izyan Syazana Mohd Wazir, masing-masing menolak tawaran beraksi bersama skuad negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata, kedua-dua pemain yang membantu negara memenangi pingat emas ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu menyatakan kekangan masa menyebabkan mereka menolak tawaran berkenaan.

Bagaimanapun, Zainon menegaskan kehilangan dua tonggak itu tidak menjejaskan persediaan skuad negara untuk mempertahankan gelaran juara Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura September ini.

"Mereka memberi alasan tidak boleh memberi komitmen dan saya baru saja dimaklumkan perkara ini.

"Tapi tak mengapa sebab kita mempunyai ramai pemain berbakat, cuma mereka yang baru ini kurang pengalaman saja," katanya.

Ketika ini skuad bola jaring kebangsaan sedang dalam fasa latihan berkala dan akan memilih 12 pemain terbaik pada pertengahan Julai ini.

Beberapa kejohanan akan menjadi medan pemilihan pemain yang akan membawa cabaran ke Singapura nanti.

Sementara itu, Choo Kon Lee sudah menjalankan tugas sebagai jurulatih sementara ketika badan induk itu sedang berunding untuk mendapatkan sentuhan jurulatih dari Australia. 

1304 dibaca
Berita Harian X