;
Selasa, 6 March 2018 | 6:23pm
PELUMBA negara, Fauzan Ahmad Lutfi. - Foto Asyraf Hamzah

Mana wang kami?

 

KUALA LUMPUR: "Mana wang kami? Sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang bayangan wang kemenangan Jelajah Malaysia (JM) dan Tour de Selangor (TdS) 2017." 

Itu luahan pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi terhadap pihak penganjur dua perlumbaan yang berstatus 2.2 dalam kalender Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung pada tahun lalu.

Edisi ke-53 JM 2017 yang berlangsung pada 3 hingga 7 Oktober membabitkan 17 pasukan tempatan serta luar negara.

Manakala, edisi pertama TdS pada 17 hingga 21 Oktober yang berlangsung di sekitar Selangor membabitkan lima peringkat perlumbaan.

"Kedua-duanya diuruskan syarikat yang sama. Saya sendiri tidak faham kenapa wang kemenangan masih belum dibayar. Bukan saja pasukan saya (PDRM), namun saya turut difahamkan pasukan tempatan yang lain turut mengalami nasib sama.

"Jika berkaitan doping, saya fikir ia sudah lama selesai kerana Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah menjatuhkan hukuman terhadap seorang pelumba kerana gagal ujian.

"Jadi, apa sebenarnya menjadi punca sehingga pelumba menjadi mangsa," jelas pelumba kebangsaan itu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 yang mewakili PDRM dalam dua perlumbaan berkenaan jelas kecewa kerana ia membabitkan 'periuk nasi' pelumba yang bertungkus-lumus mempamerkan kayuhan terbaik.

"Ia menjejaskan semangat pelumba untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan tempatan pada masa depan. Malah ia menjejaskan imej Malaysia sekiranya ia membabitkan pelumba luar negara," katanya.

JM 2017 yang didominasi Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) menawarkan hadiah kemenangan RM166,000 dengan kos keseluruhan RM3.8 juta.

Manakala TdS 2017  yang membabitkan 15 pasukan dalam dan luar negara turut menawarkan hadiah kemenangan hampir RM80,000.

3812 dibaca
Berita Harian X