Khamis, 1 March 2018 | 11:00pm

Azizulhasni, Ziyad ungguli Anugerah SAM

PETALING JAYA: Juara keirin dunia Azizulhasni Awang meraih anugerah Atlet Terbaik manakala Ziyad Zolkefli dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2017 sebentar tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Azizulhasni dan Ziyad tidak dapat hadir pada majlis berkenaan kerana berada di luar negara bagi menyertai pertandingan dan juga latihan.

Azizulhasni, 30, atlet berbasikal trek dari Dungun, Terengganu itu yang juga dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman memenangi anugerah Atlet Terbaik buat kali kedua di Anugerah SAM, kali pertama pada tahun 2009.

Kejayaannya meraih emas pertama keirin untuk negara di Kejuaraan Trek Dunia UCI di Hong Kong April tahun lalu memberi kelebihan buat Azizulhasni berbanding calon-calon lain dalam kategori berkenaan.


ZAHID (empat dari kiri) pada Majlis Anugerah SAM - 2018 malam ini. FOTO/BERNAMA

Dia kini berada di Apleldorn, Belanda bagi mempertahankan gelarannya di Kejuaraan Trek Dunia UCI.

Ziyad pula sedang menjalani latihan intensif di Leipzig, Jerman dalam persediaannya menghadapi Grand Prix Para Dunia di Dubai pada 13-16 Mac ini.

Atlet T20 itu mencatat rekod baharu dunia di Sukan Para Dunia di London.

Pada majlis berkenaan, SAM turut mengiktiraf sumbangan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar terhadap pembangunan sukan di Malaysia.

Senarai pemenang:

Atlet terbaik: Azizulhasni Awang (berbasikal)

Atlet Para Terbaik: Ziyad Zolkefli (olahraga)

Atlet muda terbaik: Aaliyah Yoong Hanifah (ski air)

Anugerah khas: Gavin Kyle Green (golf) dan skuad boling wanita

Persatuan paling dinamik: Persatuan Bola Sepak Malaysia

559 dibaca
AZIZULHASNI (kiri) raih anugerah Atlet Terbaik manakala Ziyad dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik Anugerah SAM.
Berita Harian X