Selasa, 13 Februari 2018 | 8:12pm
PEMAIN pasukan PKS Uniten, Nurul Nabihah Mansur (tengah) diasak pemain pasukan KL Wipers, Emylia Syahirah Mohd Fairuz (kiri) ketika perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB (wanita) di Stadium Hoki KLHA. - Foto Eizairi Shamsudin

PKS Uniten, Blue Warriors raih tonik terbaik

KUALA LUMPUR: Lailin Abu Hassan meluahkan rasa kagum dengan prestasi Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang menjaringkan gol ketika PKS Uniten-KPT menang 4-0 ke atas KL Wipers dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia, sebentar tadi.

Raja membuktikan betapa dia juga tajam dalam menggalas tanggungjawab mengambil pukulan sudut penalti dengan meledak dua gol untuk membantu PKS Uniten mengekalkan penguasaan carta liga di depan Blue Warriors yang turut menumpaskan MSN Kedah 4-0 untuk berkongsi 22 mata.

Tonggak pertahanan kebangsaan itu meletakkan pasukannya selesa di depan 2-0 masing-masing menerusi jaringan suku pertama dan kedua sebelum Wan Norfaiezah Sauiti dan Fatin Shafika melengkapkan kemenangan bergaya PKS Uniten dalam aksi di Stadium KLHA.

"Raja nampak semakin yakin dalam mengambil pukulan sudut penalti dan saya berharap dia akan lebih fokus untuk pertemuan menentang Blue Warriors, Ahad ini.

"Untuk Noni (Nuraini Rashid) memang dia tidak menjaringkan gol hari ini tetapi dia mempunyai beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti yang dinafikan penjaga gol lawan.

"Apapun saya berpuas hati dengan prestasi Raja dan saya amat bertuah untuk memiliki pemain sepertinya dan Fatin Shafika," katanya selepas tamat perlawanan.

Ia adalah gol peribadi ketiga Raja musim ini dengan Nuraini masih kekal sebagai penjaring terbanyak PKS Uniten dengan lapan gol diikuti Hanis Nadiah Onn (enam gol).

Bagaimanapun, keputusan itu tidak cukup untuk membuka jurang mata skuad kendalian Lailin itu dalam pemburuan gelaran liga apabila Blue Warriors turut mengekalkan rentak kemenangan dengan membenam MSN Kedah 4-0 dalam aksi di Stadium Kulim petang ini.

Nuraslinda Said mengetuai kemenangan Blue Warriors dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-54 dan 58 manakala dua lagi disumbat Narinder Kaur (keenam) dan Nor Asfarina Isahyifika Issahidun (59)

Sementara itu, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terus menghidupkan peluang untuk mengekalkan gelaran liga pada musim ini dengan menundukkan UiTM 4-1 dalam aksi di Stadium Batu Burok, Kuala Terengganu sekali gus kekal ketinggalan lima mata di belakang PKS Uniten dan Blue Warriors.

122 dibaca
Berita Harian X