Khamis, 25 Januari 2018 | 8:35pm
PEMAIN PKS Uniten-KPT, Wan Norfaiezah Md Saiuti (kanan) diasak pemain Blue Warriors, Ritu Rani pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Aksi Blue Warrior, PKS Uniten-KPT ditangguh

KUALA LUMPUR: Perlawanan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) antara Blue Warrior dan PKS Uniten-KPT yang berlangsung petang ini, terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk.

Perlawanan itu dihentikan oleh pegawai teknikal ketika keputusan terikat 1-1 akibat hujan lebat dan kilat yang melanda kawasan Stadium Hoki Bukit Jalil tatkala ia sudah berlangsung lebih 25 minit.

Perlawanan itu bakal diadakan semula dalam tempoh 60 minit selaras peraturan pertandingan yang menetapkan sekiranya aksi ditangguhkan sebelum tamat suku kedua maka ia akan dimainkan semula.

Pegawai teknikal, Ernawati dan pengadil perlawanan Fathi Kamil dan Faiz Ahmad memutuskan untuk menunda perlawanan itu akibat keadaan padang basah.

Bagaimanapun, aksi yang bertukar menjadi perlawanan 'pemanas badan' bagi kedua-dua pasukan itu berlangsung dengan penuh kontroversi sebelum ditangguhkan apabila terpaksa dihentikan selama lima minit berikutan kesilapan keputusan pengadil.

Ia gara-gara keputusan pengadil 2, Faiz membatalkan jaringan kedua PKS Uniten menerusi Nurul Nabihah Mansor pada minit ke-25 yang berpunca daripada bantahan pemain Blue Warriors dalam kawasan D lawan dan kelekaan itu dimanfaatkan Nabihah.

Namun, jaringan itu dibatalkan oleh Faiz dan sebaliknya dia menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Blue Warriors. Peluang itu disempurnakan dengan baik oleh import dari India Rita Runi untuk gol penyamaan.

Terdahulu, penyerang sensasi negara Hanis Nadiah Onn membuka tirai jaringan buat PKS Uniten seawal minit kelima menerusi kuisan pukulan sudut penalti diambil Nuraini Rashid.

PKS Uniten kini berada di tangga kedua liga dengan enam mata selepas dua perlawanan, ketinggalan empat mata kepada peneraju TLHT yang menumbangkan Penang Juniors 8-0 petang tadi.

Sementara Blue Warriors kekal di tangga keempat dengan empat mata.

KEPUTUSAN HARI INI:

TLHT...8 Penang Juniors...0

MSN Kedah...3 KL wipers...0

209 dibaca
Berita Harian X