Isnin, 22 Januari 2018 | 11:25pm
SETIAUSAHA Agung Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS), Matthieu Reeb memberi kenyataan kepada media di Mahkamah di Geneva, hari ini. - Foto AFP

CAS mula sidang rayuan kes 39 atlet doping

GENEVA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hari ini bersidang berhubung rayuan 39 atlet Russia yang dikenakan hukuman pengharaman seumur hidup dalam penyertaan di Sukan Olimpik atas kesalahan doping ketika temasya Olimpik Musim Sejuk Sochi, Russia 2014.

Atlet berkenaan sebahagian daripada 43 yang disingkirkan dari kejohanan tersebut selain diharamkan penyertaan pada temasya sama pada masa depan.

Ada juga atlet berkenaan dilucutkan pingat kemenangan masing-masing oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mendapati wujud kesalahan doping di Sochi.

Setiausaha Agung CAS, Matthieu Reeb berkata tiga atlet speed skating Russia akan tampil membuat rayuan itu hari ini.

"Rayuan (kesemua 39 atlet) akan didengar seorang demi seorang sepanjang sesi minggu ini. Saya boleh sahkan bahawa sesi sidang mahkamah ini akan berakhir Sabtu depan.

Menurutnya, keputusan muktamad rayuan berkenaan akan diumumkan pada 31 Januari ini iaitu sembilan hari sebelum perasmian temasya di Pyeongchang.

CAS sebelum ini mengesahkan menerima 42 permohonan rayuan daripada 43 atlet berhubung pengharaman seumur hidup itu.

IOC mengharamkan atlet Russia mengambil bahagian di temasya Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang bulan depan bagaimanapun atlet Russia yang layak dibenarkan bertanding atas tiket negara berkecuali jika mereka terbukti bebas kesalahan doping.

Atlet Russia yang diharamkan itu terdiri daripada acara speed skating, bobsleigh, skeleton, cross-country skiing, hoki ais, luge dan biathlon.

Russia berulang kali menafikan dakwaan wujud campur tangan kerajaan dalam skandal kes doping yang didedahkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Peguam yang mewakili kumpulan atlet terbabit dalam satu kenyataan mendakwa anak guam mereka masing-masing digantung 'meskipun tanpa bukti kukuh yang spesifik' atas dakwaan berkenaan.

"Atlet berharap panel sesi rayuan CAS dapat memberikan keputusan adil," katanya.

CAS mengesahkan panel sesi itu turut akan memanggil bekas ketua pegawai anti doping Russia, Grigory Rodchenkov dan peguam Kanada, Richard McLaren sebagai saksi menerusi sama ada sidang video ataupun telefon. - REUTERS

164 dibaca
Berita Harian X