Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:35am
PELUMBA persendirian negara, Norhasmat Abdul Aziz (dua dari kanan) sasar pertahan pingat perak pada saingan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Myanmar, bulan depan.

Norhasmat cari 'bonus' di Myanmar

KUALA LUMPUR: Pelumba persendirian negara, Norhasmat Abdul Aziz meletakkan sasaran mempertahankan pingat perak pada saingan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Myanmar, bulan depan.

Dia yang beraksi dalam acara ujian masa individu bagi kategori masters (40-44 tahun) meraih kedudukan kedua pada edisi tahun lalu di Bahrain.

"Sasaran awal mempertahankan perak yang dimenangi tahun lalu, namun saya anggap bonus sekiranya memenangi emas kali ini.

"Berbanding edisi 2017, persiapan kali ini lebih baik bagi menghadapi saingan di Nay Pyi Taw dengan saya sudah bermula sejak awal Disember lalu di bawah tunjuk ajar pelumba kebangsaan, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang bertindak sebagai jurulatih," tambahnya.

Norhasmat antara 17 atlet yang diluluskan penyertaan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggalas cabaran negara beraksi pada edisi ke-38 lebuh raya di Nay Pyi Taw dari 6 hingga 12 Februari.

"Pada tahun lalu, terdapat 17 negara mengambil bahagian dalam acara yang saya sertai dan mungkin saingan lebih sengit kali ini.

"Malah juara tahun lalu dari Iran sudah mengesahkan penyertaan di Myanmar. Saya akan ke Terengganu dalam masa terdekat untuk berlatih bersama jurulatih berpengalaman, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan bagi membaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi," tambahnya.

486 dibaca
Berita Harian X