Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:56pm
KETUA pasukan golf Asia Arjun Atwal (duduk kanan) berkatakan sesuatu ketika menunggu pasukan terakhir Li Haotong dan Nichoias Fung bertemu pasukan golf Eropah, Ross Fisher dan Bernd Wiesberger yang menentukan kemenangan pasukan Asia pada hari kedua Kejohanan Piala Eurasia 2018 di Glenmarie Golf and Cuntry Club. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Piala EurAsia: Pasukan Asia kekal kelebihan

KUALA LUMPUR: Pasukan Asia terus mendahului saingan Piala EurAsia apabila mengatasi Pasukan Eropah dengan catatan 6 1/2-5 1/2 selepas hari kedua kejohanan yang berlangsung di lapangan Kelab dan Country Glenmarie hari ini.

Asia yang diterajui Arjun Atwal, mendahului lawan dengan kelebihan satu mata selepas saingan hari pertama, dan meneruskan kutipan mata menerusi pemenang carta Merit Jelajah Asia Gavin Green dan gandingannya Yuta Ikeda dari Jepun dalam acara foursome hari ini.

"Permainan kami tidak konsisten di pertengahan pusingan dan menuju ke penamat, tetapi kami berjaya mengatasinya untuk menamatkan permainan dengan baik, di mana ia amat penting kerana kami ketinggalan dua lubang ketika empat lubang berbaki," kata Gavin, 24. "Kami hanya cuba mencari birdie dan memastikan bola berada di atas fairway."

Gandingan Asia itu ketinggalan dua lubang selepas tewas di lubang ke-14 tetapi bangkit memenangi dua lubang seterusnya untuk kembali mengikat kedudukan. Birdie di lubang ke-17 memastikan satu mata buat Pasukan Asia sebelum masing-masing mencatat par di lubang terakhir.

Tiga mata berturut-turut dikutip pasukan Eropah menerusi gandingan Tommy Fleetwood-Henrik Stenson yang mengatasi SSP Chawrasia-Anirban Lahiri 3&2, disusuli Paul Casey-Tyrrell Hatton yang menewaskan Kiradech Aphibarnrat-An Byeonghun 2&1.

Eropah melebarkan kedudukan kepada 5 1/2 selepas Matt Fitzpatrick-Thomas Pieters mengatasi Kang Sunghoon-Poom Saksansin 3&2, namun Asia bangkit menerusi satu mata dikutip Phachara Khongwatmai-Hideto Tanihara yang menewaskan Paul Dunner-Alex Noren.

Asia menamatkan saingan di hari kedua dengan satu lagi kejutan menerusi pemain 22 tahun Li Haotong yang bergandingan dengan Nicholas Fung untuk memastikan pasukan kekal di depan menuju ke hari ketiga esok.

Fung yang beraksi di edisi Piala EurAsia ketiganya, akan memulakan saingan esok dengan menentang juara sembilan kali Jelajah Eropah, Noren, manakala Haotong, 28, akan mengakhiri saingan dengan menentang juara Masters British 2017, Dunne.

125 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »