Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:29pm
IZAD (kanan) akui kejayaan menjuarai Piala Tan Sri P Alagendra dan Piala Sumbangsih dirasakan lebih bermakna bila dicapai bersama abangnya, Roslan. - Foto Roslan Jamaluddin

Izad idam penuhi misi serampang dua mata

KUALA LUMPUR: Kejayaan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menjulang Piala Tan Sri P Alagendra minggu lalu dan Piala Sumbangsih semalam, melonjakkan semangat Izad Hakimi Jamaluddin untuk memburu dua lagi kejuaraan, Liga Perdana dan Piala TNB.

Izad, 26, yang menyertai KLHC musim lalu berkata, selain bertekad membantu kelab itu memenangi semua piala, dia mahu menikmati setiap detik kejayaan bersama abangnya Roslan Jamaluddin.

"Sekian lama membabitkan diri dalam hoki, baru dua tahun kebelakangan ini kami dapat berganding bersama di kelab.

"Ia membuatkan saya begitu teruja serta bersemangat setiap kali kami bergandingan. Sebagai pemain pertahanan, kehadiran Abang Roslan di pintu gol memberikan saya motivasi tambahan.

"Malah saya dapat rasakan kejayaan yang dicapai lebih manis bila kami raikan bersama. Saya pernah menjuarai Piala Tan Sri P Alagendra bersama Sapura pada 2016 tapi kejayaan bersama KLHC kali ini memberi kepuasan luar biasa," kata Izad.

Justeru Izad, anak bongsu daripada sembilan adik-beradik bertekad memenangi seberapa banyak kejuaraan bersama abang keempatnya itu sebelum Roslan bersara.

"Saya sedar, pada usia 40 tahun sekarang, karier Abang Roslan sudah hampir ke penghujung. Jadi sebelum dia bersara, saya mahu menikmati kejayaan bersamanya.

"Kami sudah memenangi dua piala musim ini, jadi sasaran seterusnya adalah menjuarai liga dan juara keseluruhan (Piala TNB) bagi melengkapkan status kami sebagai kuasa hoki negara," katanya.

Pada Piala Sumbangsih malam tadi, KLHC dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) seri 2-2 selepas tamat masa permainan sebenar sebelum KLHC muncul juara 5-4 menerusi penentuan pukulan penalti.

Ia kejuaraan berganda dalam tempoh seminggu baut KLHC selepas turut mengalahkan THT 4-3 melalui pukulan penalti pada final Piala Tan Sri P Alagendra sesudah terikat 3-3.

187 dibaca
Berita Harian X