;
Jumaat, 8 Disember 2017 | 9:44pm
PELUMBA negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti (depan) berharap dapat mewakili negara ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 bagi saingan lebuh raya di Myanmar. - Foto Luqman Hakim Zubir

Fauzan harap restu PKBM ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi berharap mendapat 'restu' Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mewakili negara ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 bagi saingan lebuh raya di Myanmar.

Jelas pelumba pasukan PDRM berkenaan, dia difahamkan Malaysia tidak akan menghantar wakil bersaing pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

"Saya mendapat maklumat, Malaysia tidak menyenaraikan sebarang pelumba ke sana. Jadi saya akan bertemu dan berbincang dengan PKBM dalam masa terdekat untuk membolehkan saya menyertai perlumbaan itu.

"Saya akan ke sana dengan pembiayaan sendiri bagi menyertai acara lepas beramai-ramai dan ujian masa individu," jelasnya.


PELUMBA berpengalaman, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi difahamkan Malaysia tidak akan menghantar wakil bersaing pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018. - Foto Luqman Hakim Zubir

Menurut pemenang emas acara ujian masa berpasukan itu, pada edisi tahun ini di Bahrain, dia turut menyertainya dengan pembiayaan sendiri selepas mendapat kebenaran PKBM.

"Saya menyertai ujian masa individu dan meraih tempat kesembilan pada awal tahun ini. Masih terlalu awal untuk bercerita mengenai sasaran pada tahun depan namun sudah pasti saya mahu memberikan yang termampu untuk tidak menghampakan penaja," tambahnya.

Sekiranya beraksi di ACC 2018, ia akan menjadi penampilan ke lapan bagi dirinya sejak mula bersaing pada 2005.

Malah menurut Fauzan, dia turut akan bertindak sebagai jurulatih peribadi kepada Norhasmat Abdul Aziz yang meraih perak di Bahrain dalam kategori veteran (40-44 tahun).

ACC bagi lebuh raya dijadualkan berlangsung di Nay Pyi Taw dari 6 hingga 12 Februari dengan Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara trek pada 16 hingga 20 Februari di Velodrom Nasional.

239 dibaca
Berita Harian X