Selasa, 17 Oktober 2017 | 5:57pm
PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman peraga kayuhan mantap untuk mengungguli peringkat pertama Tour de Selangor 2017, sebentar tadi.

Zawawi laung amaran awal

KUALA SELANGOR: Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi peringkat pertama Tour de Selangor 2017 dan menyarung tiga jersi yang dipertandingkan, sebentar tadi.

Pemenang kategori pelumba terbaik Malaysia Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) itu, secara solo melintasi garisan penamat di Bukit Malawati dengan masa dua jam 41 minit 42 saat selepas mengharungi perlumbaan sejauh 114 kilometer bermula di Dataran Petaling Jaya.

"Saya melakukan pemecahan hanya selepas lima kilometer perlumbaan bermula dan gembira mampu menamatkan perlumbaan peringkat pertama dengan kemenangan. Ini penting bagi meletakkan diri dalam kedudukan terbaik mengharungi baki perlumbaan.

"Saya banyak melakukan kesilapan di JM2017, dua minggu lalu sehingga tidak dapat memenangi sebarang peringkat, sekadar muncul antara 20 pelumba terbaik. Jadi, saya tidak mahu mengulanginya kali ini, saya sentiasa berwaspada sepanjang perlumbaan," jelasnya.

Tempat kedua diraih pelumba PDRM, Nik Mohd Azwan Zulkifle dan pelumba Aisan Cycling Team, Ryohei Komori meraih tempat ketiga.

Kemenangan di Bukit Malawati turut membolehkan dia menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan, jersi Raja Pecut (biru) dan Bukit (merah).

"Memang terkejut dapat meraih tiga jersi utama hari ini, secara tidak langsung membakar semangat saya untuk mengharungi baki empat peringkat lagi.

"Saya akan cuba mempertahankan jersi kuning kerana ia boleh melonjakkan reputasi saya terutamanya di pentas lebih besar," jelas pelumba kelahiran Parit Buntar itu.

184 dibaca
Berita Harian X