Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:00pm
PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman (dua dari kanan) tekad terus peraga aksi konsisten pada Tour de Selangor 2017, Selasa ini. - Foto Amran Hamid

Zawawi tekad gegar Tour de Selangor 2017

KUALA LUMPUR: Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman mahu terus konsisten apabila tampil beraksi di Tour de Selangor 2017, bermula Selasa ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu mencuri tumpuan apabila menyarung jersi merah untuk muncul pelumba terbaik Malaysia di Jelajah Malaysia (JM2017) yang berakhir minggu lalu.

Malah dia antara yang membantu TSC muncul pasukan terbaik di kalangan 18 pasukan bersaing selain rakan sepasukannya, Wilmar Jahir Perez Munoz muncul Raja Bukit selepas memenangi pendakian ke puncak Gunung Jerai di Kedah.

"Kejayaan di JM2017 memberikan semangat untuk saya terus konsisten di Tour de Selangor yang hanya dibezakan tempoh seminggu.

"Saya berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia menghadapi perlumbaan ini. Saya difahamkan laluan tidak terlalu berbukit dan berharap untuk sekurang-kurangnya memenangi satu peringkat perlumbaan," kata pelumba kelahiran Parit Buntar, Perak itu.

Perlumbaan Tour de Selangor 2017 yang berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) membabitkan lima peringkat.

110 dibaca
Berita Harian X