Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:44pm
PEMAIN boling padang negara, Siti Zalina Ahmad (kiri) menganggap kejayaan muncul juara kategori perseorangan Kejohanan Boling Padang Asia di New Delhi, minggu lalu sebagai satu 'sejarah unik' bagi dirinya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Skuad boling padang negara akan berkampung di Brisbane

SEPANG: Siti Zalina Ahmad menganggap kejayaan muncul juara kategori perseorangan Kejohanan Boling Padang Asia buat kali ke-10 di New Delhi, minggu lalu sebagai satu 'sejarah unik' bagi dirinya.

Atlet berusia 38 tahun dari Perak itu melengkapkan kemenangan ke-10 pada edisi ke-12 kejohanan itu selepas menewaskan peserta Singapura, Shermeen Lim, 21-14 pada final kejohanan enam hari yang berakhir Isnin lalu.

Pegawai polis itu kini akan membuat persiapan rapi untuk penampilan kelima di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April 2018 dengan sasaran untuk meraih pingat, selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi Glasgow, Scotland pada 2014.

"Sebelum saya pergi, saya memang sasar nak menang buat kali ke-10, tetapi tak adalah apa-apa tekanan bagi saya, saya main dalam keadaan biasa.

"Cuma saya tahu apabila saya menang, saya dapat catat sejarah macam ini, kerana bukan semua orang boleh mencapai kejayaan ini," katanya kepada Bernama.

"Walaupun prestasi saya konsisten sejak beberapa bulan ini, saya masih perlu perbaiki kelemahan yang ada untuk mendapatkan prestasi yang lebih bagus sebelum Komanwel.

"Ini kerana, kita tahu pesaing di Komanwel bukan calang-calang orangnya, ada dari kalangan juara dunia, jadi kita perlu bersedia daripada segi permainan dan juga mental," kata pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari New Delhi bersama skuad negara yang muncul juara keseluruhan kejohanan itu dengan merangkul lima emas, satu perak dan dua gangsa, daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Zuraidi Puteh berkata, kejayaan membanggakan itu adalah berkat latihan berterusan selepas kejayaan cemerlang muncul juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu, dengan menyapu tujuh daripada lapan pingat emas selain satu perak.

Lima pingat emas negara di New Delhi diperoleh menerusi Mohammad Soufi Rusli dalam kategori perseorangan lelaki, Siti Zalina (perseorangan wanita), Hizlee Rais dan Fairul Muin (pairs lelaki), Siti Zalina dan Auni Kamis (pairs wanita) serta gandingan Nabilah Tarmizi, Kamis, Zuraini Khalid, Azalina Arshad bagi acara fours wanita.

Katanya, perancangan seterusnya adalah untuk menjemput negara-negara seperti Scotland, Afrika Selatan dan Wales untuk mengadakan kejohanan siri ujian empat negara.

"Selepas itu, akan kita menyediakan latihan kritikal untuk kecergasan atlet dan berkampung di Brisbane bermula 19 Februari depan untuk adaptasi serta perlawanan persahabatan menentang kelab di sana dan peserta Sukan Komanwel," katanya.

"Antara negara yang akan tiba awal di Gold Coast ialah kuasa utama seperti Scotland, New Zealand dan England. Untuk Sukan Komanwel, kita harapkan satu emas dan beberapa pingat daripada lima atlet lelaki dan lima atlet wanita yang akan menyertai lapan disiplin, kerana saingan sangat sengit," katanya.

Zuraidi turut berharap dua wakil negara, Izzat Shameer Dzulkeple dan Emma Firyana Saroji yang bakal beraksi di World Singles Champion of Champions di New South Wales, Australia bermula 30 Oktober hingga 5 November ini pulang dengan kilauan pingat. - BERNAMA

56 dibaca
Berita Harian X