Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:31am
KUALA LUMPUR 06 JUNE 2017. Pemain hoki kebangsaan, Sukri Mutalib menjalani latihan di Stadium Tun Razak sebelum ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bermula 15 Jun ini. NSTP/ AZIAH AZMEEAZIAH AZMEE

Cikgu Sukri pantang menyerah kalah

DHAKA: Sukri Mutalib cukup mahir menulis menggunakan kapur di papan hitam, sama hebat seperti dia memegang kayu hoki di dalam padang.

Cikgu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu membuat penampilan sulung antarabangsa pada saingan Piala Dunia Remaja Rotterdam 2005, dan pada usia 31 tahun, dia terus mahu mencipta sejarah dengan membantu pasukan mara ke pentas final Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

Bakat anak kelahiran Trolak, Perak itu dikesan jurulatih Paul Lissek ketika beraksi dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia pada usia 16 tahun, dan jurulatih dari Jerman itu segera menyerap Sukri menyertai sesi latihan skuad remaja negara.

Dan Sarjit Singh yang ketika itu bertindak sebagai jurulatih skuad remaja negara tidak menunggu lama untuk menyenaraikan Sukri ke dalam skuad yang ke Rotterdam.

Sukri adalah tonggak penting di bahagian pertahanan, dan muncul antara pemain skuad Piala Dunia Remaja 2005 yang masih berbakti untuk pasukan senior, termasuk Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil.

Dan pada tahun ini, Sukri membantu Malaysia muncul juara saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia, dan tempat keempat di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia sekali gus meraih tiket ke Piala Dunia 2018.

Dia juga berada dalam pasukan ketika Malaysia memenangi satu-satunya pingat gangsa Piala Asia edisi 2007 di Chennai.

Sikap pantang menyerah kalah menjadi kunci kekuatan utamanya.

"Kami sudah menewaskan semua pasukan utama Asia pada tahun ini (India, Korea Selatan dan China) dan hadir ke kejohanan ini sebagai pasukan ranking kedua tertinggi di belakang India.

"Tiada tekanan ke atas kami, kami sudah layak ke Piala Dunia, tetapi masih perlu mengukuhkan cengkaman di rantau ini secara konsisten di Dhaka," kata ketua pasukan Malaysian Tigers itu.

Dengan kehadiran tonggak Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu di bahagian pertahanan, penyokong Malaysia boleh meletakkan harapan untuk melihat skuad negara menamatkan penantian selama 35 tahun untuk muncul juara Piala Asia buat kali pertama.

Pencapaian Sukri:

Piala Asia: Gangsa 2007 (Chennai)

Sukan Asia: Perak 2010 (Guangzhou)

Trofi Juara-Juara Asia: Gangsa 2011 (Ordos)

Gangsa 2013 (Kakamigahara)

Cabaran Juara-Juara I: Gangsa 2014 (Kuantan)

Piala Sultan Azlan Shah: Perak 2013 (Ipoh)

Perak 2014 (Ipoh)

Sukan SEA: Emas 2017 (Kuala Lumpur)

734 dibaca
Berita Harian X